Mohd Husni Mohd Noor


NOVELIS terkemuka negara, Profesor Dr Siti Zainon Ismail, 69, diumumkan penerima Anugerah Sastera Negara ke-14.

Pengumuman dibuat Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik di Putrajaya hari ini.

Dr Maszlee berkata, Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara Ke-14 akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah 21 September ini di Kuala Lumpur.

Menurutnya, Siti Zainon dipilih selepas sumbangan cemerlang secara berterusan dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera yang bermutu tinggi.

“Pemilihan Siti Zainon adalah berdasarkan kepada sumbangan beliau melalui karya dan pemikiran, sumbangan terhadap pengembangan sastera, impak dalam penyebaran ilmu, kepimpinan dalam persatuan sastera, impak pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta penghargaan dan pengiktirafan yang diterima.

“Susulan penganugerahan itu, Siti Zainon akan menerima penghargaan daripada kerajaan berupa Warkah Penghormatan Negara; wang tunai RM60,000; penerbitan 50,000 naskhah buku atau nilai harga buku berjumlah maksimum RM500,000 untuk dibeli oleh kerajaan dan disebar luas ke sekolah, perpustakaan, jabatan serta agensi kerajaan,” katanya.

Katanya, penerima juga mendapat kemudahan perubatan percuma dalam wad kelas satu di hospital kerajaan; kemudahan untuk kegiatan mencipta karya sastera; kemudahan untuk penerbitan karya; penterjemahan karya sesuai ke dalam bahasa asing dan elaun sara hidup RM5,000 sebulan.

Siti Zainon yang dilahirkan pada 18 Disember 1949 di Gombak, Kuala Lumpur pernah menghasilkan tiga novel; 10 kumpulan cerpen; 25 kumpulan puisi; tujuh antologi cerpen dan lima antologi puisi selain 18 kajian ilmiah (buku); 21 esei kajian dalam buku dan 21 esei dalam monograf, jurnal, dokumentasi dan majalah-katalog.

Selain itu, Siti Zainon juga memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) enam kali; Anugerah Budayawan Selangor; Anugerah Tokoh Seni Budaya Penghargaan Usaha Seni Tan Sri Fatimah -Avon dan penerima Pingat Seri Mahkota Selangor.

Sementara itu, Dr Maszlee berkata, pihaknya sepakat memilih Siti Zainon sebagai Sasterawan Negara ke-14 selepas mendapat sumbang saran daripada sasterawan negara terdahulu selain sumbangannya yang banyak dalam memartabatkan sastera negara.

“Kami menerima ramai calon untuk dipilih sebagai Sasterawan Negara kali ini namun, Siti Zainon dipilih berdasarkan sumbangan besar terhadap sastera negara,” katanya.

Sejak 1981, 13 tokoh sasterawan menerima Anugerah Sastera Negara iaitu Keris Mas (1981); Shahnon Ahmad (1982); Usman Awang (1983); A Samad Said (1985); Arena Wati (1987); Muhammad Haji Salleh (1991); Noordin Hassan (1993); Abdullah Hussain (1996); S Othman Kelantan (2003); Anwar Ridhwan (2009); Kemala (2011); Baha Zain (2013) dan Zurinah Hassan (2015).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 3:55 PM