Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pusat beli-belah di bandar raya ini semakin sesak dan dipenuhi orang ramai yang kini mulai sibuk membuat persiapan Aidilfitri.

Tinjauan di pusat beli-belah yang menjadi tumpuan ramai di Skudai dan Tampoi di sini, kesesakan berlaku seawal tengah hari apabila orang ramai berpusu-pusu mengambil peluang membuat persiapan awal Aidilfitri.

Penjawat awam, Siti Muslimah Ahmad Shahidon, 42, berkata, dia dan keluarga memutuskan untuk membuat persiapan awal bagi mengelakkan kesesakan di penghujung Ramadan selain risau jika baju raya yang diingini kehabisan stok.

Katanya, keluarganya teruja membuat persiapan awal Aidilfitri selepas dua tahun tidak dapat pulang ke kampung berikutan pandemik Covid-19 yang menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

"Kami sekeluarga mahu membuat persiapan awal bagi mengelakkan kesesakan namun bila pergi memang sudah ramai dan sesak.

"Namun masih ada pilihan lagi terutama baju raya anak. Risau juga sebab sempadan sudah dibuka dan ada laporan mengatakan warga Singapura sudah mula masuk membeli-belah untuk Aidilfitri.

"Jika tak buat persediaan awal takut stok baju raya untuk empat anak tiada pilihan lagi nanti. Alhamdulillah hari ini sudah selesai belikan anak-anak dua pasang baju seorang," katanya ketika ditemui, hari ini.

Seorang lagi pengguna, Salleh Omar, 41, berkata dia juga mengambil kesempatan hujung minggu untuk membelikan baju raya anaknya.

Orang ramai mula membuat persiapan awal Sambutan Hari Raya dengan membeli pakaian dan sebagainya di sebuah butik terkenal di sebuah Pusat membeli-belah di Tampoi, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Orang ramai mula membuat persiapan awal Sambutan Hari Raya dengan membeli pakaian dan sebagainya di sebuah butik terkenal di sebuah Pusat membeli-belah di Tampoi, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Katanya, persiapan awal dibuat berikutan dia dan isteri, Nor Madiana Umar, 39, akan sibuk berniaga makanan di bazar Ramadan selepas ini.

"Hari ini saya dan isteri bercuti berniaga sehari khusus bagi membuat persiapan Aidilfitri untuk anak.

"Seronok tengok suasana pusat beli-belah kembali meriah dan dipenuhi ramai orang berbanding dua tahun sebelum ini.

"Saya dan isteri belikan dua pasang baju raya untuk tiga anak berikutan mahu berjimat cermat kerana pendapatan yang ada perlu disimpan bagi keperluan lain," katanya.

Dalam pada itu, kakitangan sebuah butik menjual pakaian raya, Amira Nazheefah Hamzah, 25, berkata, sambutan orang ramai membeli baju raya sangat menggalakkan memasuki Ramadan ke-12.

Katanya, rakyat tempatan mula berpusu-pusu melihat serta membeli baju raya ditawarkan sehingga majikannya perlu menambah lebih banyak stok baharu.

"Buat masa ini pelanggan yang ramai adalah rakyat tempatan. Kita jangkakan pada akhir minggu kedua dan minggu ketiga Ramadan nanti, warga Singapura pula akan datang mencari baju raya.

"Bagaimanapun pengguna dilihat lebih berhati-hati ketika membuat pilihan dengan mendapatkan baju raya dengan harga mampu milik berbanding pakaian raya keluaran terbaharu yang sedikit mahal harganya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2022 @ 1:35 PM