Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Pada hari terakhir Ramadan, hari ini, masih ada segelintir individu mengambil kesempatan membeli-belah kelengkapan Aidilfitri pada saat-saat akhir.

Tinjauan wartawan Harian Metro mendapati premis di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, dikunjungi orang ramai yang mahu membeli kelengkapan Hari Raya.

Suri rumah, Zuhaira Fatin Zainal Abidin, 23, berkata, dia tidak sempat untuk membeli-belah sebelum ini kerana kekangan masa suaminya yang bekerja.

"Bila suami memaklumkan dia cuti hari ini, saya mengajaknya membeli-belah baju raya di sini (Jalan Tuanku Abdul Rahman).

"Sewaktu saya tiba tadi, orang tidak begitu ramai di kawasan ini. Ini mungkin disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengehadkan pergerakan orang ramai," katanya ketika ditemui di Jalan Tuanku Abdul Rahman, hari ini.

Seorang lagi pengunjung, Nur Diana Abdullah, 48, berkata, dia membeli baju Melayu serta kurta untuk anak-anaknya pada saat akhir berikutan susah mendapat cuti.

"Sebelum ini, saya susah untuk cuti. Apabila dapat peluang cuti hari ini, saya membeli-belah di sini.

"Tidak ramai orang hari ini, jadi keadaan membeli-belah itu lebih selesa kerana tidak sesak," katanya yang juga seorang pengasuh.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya menempatkan 91 pasukan pematuhan di seluruh pusat bandar raya bagi melakukan pemantauan 24 jam terhadap orang ramai.

Beliau berkata, setiap pasukan membabitkan empat hingga lima anggota dengan diketuai seorang pegawai itu akan melakukan pemantauan di sekitar ibu kota ini bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

ORANG ramai membeli-belah pada saat akhir menjelang Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO FATHIL ASRI
ORANG ramai membeli-belah pada saat akhir menjelang Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO FATHIL ASRI

"Mengeluarkan kompaun bukanlah matlamat kita, sebaliknya kita lebih memilih pendekatan mengingatkan orang ramai supaya patuh pada SOP ditetapkan.

"Ini kerana situasi semasa Covid-19 di negara kita ketika ini menunjukkan jangkitan berada pada tahap tinggi. Justeru, sama-samalah kita patuh pada SOP bagi memutuskan rantaian Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 5:04 PM