DATUK Seri Hamzah Zainudin (tengah) menyerahkan replika kunci kepada Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani (kanan). FOTO Nurul Amanina Suhaini
DATUK Seri Hamzah Zainudin (tengah) menyerahkan replika kunci kepada Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani (kanan). FOTO Nurul Amanina Suhaini
Nurul Amanina Suhaini


Iskandar Puteri: Isu lebih 200,000 pekerja asing yang memohon untuk bekerja semula menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) dijangka diselesaikan pada hujung tahun ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keutamaan diberikan kepada mereka yang lengkap menerima vaksin, selain bergantung kepada permohonan di beberapa sektor antaranya perkilangan, pembinaan, pertanian serta peladangan.

"Kita akan beri keutamaan kepada mereka yang ada dalam senarai (daftar RTK), lihat sektor mana dia nak.

"Mereka ini yang sudah terima vaksin cukup, Insya-Allah boleh kerja dalam tempoh dua minggu (berperingkat)," katanya ketika sidang media selepas majlis penyerahan Projek Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Sementara itu, itu, Hamzah berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengekalkan 80 peratus kuota tenaga kerja warga tempatan, manakala 20 peratus warga asing untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Menurutnya, sehingga ini seramai 180,000 pengawal keselamatan di negara ini dengan 30,000 daripadanya adalah Nepal yang dipilih dalam kalangan bekas tentera, polis dan agensi penguat kuasa di negara mereka.

"Sebanyak 80 peratus warga tempatan dan 20 peratus warga asing itu dikira mencukupi. Apabila mereka ini sudah habis tempoh, kuota adalah 30,000 (warga asing), kita mahu cari pengganti untuk isi kuota itu, bukan menambah.

"Daripada segi pemilihan, kita kena hati-hati kerana bekerja sebagai pengawal keselamatan, biarlah mereka yang ada integriti, yang mahir undang-undang dalam negara," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, pada masa ini kerajaan hanya membenarkan warga Nepal bekerja dengan syarikat kawalan keselamatan dan cadangan itu bagi mengimbangi kekurangan tenaga kerja warga Nepal dan tempatan untuk bekerja di sektor itu.

KDN ada bercadang untuk membenarkan syarikat kawalan keselamatan swasta yang berlesen di negara ini menggaji tenaga kerja dari negara sumber baharu iaitu Filipina, Indonesia dan Bangladesh sebagai pengawal keselamatan.

Hamzah berkata, namun perkara itu masih di peringkat cadangan oleh kementerian dan akan diperincikan selepas perbincangan dilakukan dengan pemain industri serta kementerian yang berkaitan.


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 3:47 PM