Menteri Perladangan Dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyampaikan ucapan perasmian di Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Tahun 2023 yang diadakan di Ibu Pejabat MPOB. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Menteri Perladangan Dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyampaikan ucapan perasmian di Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Tahun 2023 yang diadakan di Ibu Pejabat MPOB. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Oleh Mahaizura Abd Malik


Bangi: Kerajaan hanya membenarkan kemasukan pekerja asing dalam sektor peladangan bagi menampung kira-kira 40,000 jumlah keperluan tenaga buruh dalam industri itu.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kebenaran itu perlu diselaraskan dengan langkah memperketatkan pengambilan pekerja asing yang memasuki negara ini.

Katanya, ketetapan itu dimaklumkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kepadanya selepas mesyuarat Kementerian Sumber Manusia (KSM) bagi menambah baik aspek pengurusan pekerja asing, baru baru ini.

"Setakat tinjauan Disember 2023, kita dimaklumkan dianggarkan 40,000 (pekerja asing) kita perlukan tetapi saya dimaklumkan, pengambilan sektor lain dihentikan kecuali peladangan.

"Jadi, mana-mana syarikat terbabit perlu hantar permohonan kepada KSM yang jawatankuasanya turut disertai kementerian kita.

"Sebelum kelulusan, kementerian kita akan sahkan permohonan itu kerana kita ada penanda aras dan kiraan tertentu berdasarkan berapa luas ladang, dekat mana lokasi ladang serta berapa pekerja sedia ada dan berapa pekerja mereka kurang lagi.

"Malah, saya yakin KSM dan KDN (Kementerian Dalam Negeri) akan pastikan majikan betul-betul menyediakan tempat tinggal bersesuaian pekerja asing yang dibawa masuk serta terus ditempatkan di sektor peladangan, bukan bekerja dalam industri lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan MPOB di Ibu Pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Johari berkata, permohonan ketat itu perlu sebagai langkah menyelesaikan isu berbangkit pekerja asing seperti dakwaan penipuan, buruh paksa serta pemerdagangan manusia.

"Pekerja itu perlu diberitahu apa pekerjaan sebenar mereka semasa sesi temuduga serta tidak boleh melibatkan pinjaman wang untuk datang ke negara ini, jadi mana-mana ejen yang melakukan kesalahan ini akan diambil tindakan.

"Isu seperti ini penting ditangani dari semasa ke semasa kerana secara tidak langsung industri peladangan akan menerima pekerja asing yang benar-benar mahu bekerja dalam sektor ini dan bukan bekerja dalam sektor lain.

"Ini juga bagi menjaga imej negara supaya tidak dikategorikan sebagai negara yang mengamalkan isu berbangkit seperti dituduh terlibat pemerdagangan manusia atau buruh paksa yang menyebabkan produk kita disekat ke luar negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 1:41 PM