TERTUDUH di Mahkamah Tinggi Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan
TERTUDUH di Mahkamah Tinggi Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Johor Bahru: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memerintahkan kerani wanita dipenjara enam tahun dan didenda RM6,000 kerana kesalahan memandu secara melulu, hingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, lima tahun lalu.

Ia sekali gus mengenepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober lalu yang mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan responden daripada tuduhan berkenaan. Keputusan itu diputuskan Hakim Datuk Abu Bakar Katar ketika keputusan rayuan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi.

Berikut adalah kronologi kes berkenaan:

18 Febuari 2017
Lapan remaja lelaki berbasikal maut apabila dirempuh kereta di Jalan Lingkaran Dalam bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah, Johor Bahru.Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, lapan remaja yang berumur antara 13 hingga 17 tahun itu maut ditempat kejadian.

28 Mac 2017
Pemandu wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Trafik Johor Bahruatas pertuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal. Sam Ke Ting didakwa memandu kereta secara melulu dan berbahaya hingga menakibatkan kematian penunggang basikal pada 3.20 pagi 18 Februari 2017 di Jalan Lingkaran Dalam. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

28 Oktober 2019
Jurujual wanita yang dituduh memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada 18 Februari 2017 dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru. Majistret Siti Hajar Ali membuat keputusan itu tanpa memanggil Sam Ke Ting, 24, untuk membela dirinya terhadap pertuduhan tersebut selepas pendakwaan gagal membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan.

18 Febuari 2021
Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan pemandu wanita membela diri atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal lajak, empat tahun lalu. Pesuruhjaya Kehakiman, Dr Shahnaz Sulaiman membuat keputusan itu selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Sam Ke Ting, 26.

10 Oktober 2021
Mahkamah Majistret mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan seorang jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu, hingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, empat tahun lalu.

11 Oktober 2021
Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan terhadap pembebasan seorang jurujual daripada pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak.

13 April 2022
Mahkamah Tinggi memerintahkan kerani wanita dipenjara enam tahun dan didenda RM6,000, kerana kesalahan memandu secara melulu, hingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, lima tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 12:51 PM