Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Mahkamah Majistret di sini, hari ini mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan

jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu, hingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, empat tahun lalu.

Majistret Siti Hajar Ali memutuskan demikian selepas Sam Ke Ting, 26, diarah membela diri oleh Mahkamah Tinggi, Februari lalu.

Siti Hajar dalam penghakiman berkata, mahkamah memutuskan bahawa adalah tidak selamat baginya untuk menyabitkan tertuduh atas pertuduhan yang dihadapinya.

"Selepas meneliti segala keterangan yang dikemukakan dan menimbang semua hujahan Timbalan Pendakwa Raya dan Peguam Bela tertuduh di akhir kes pembelaan, timbul keraguan munasabah dalam minda saya.

"Maka diputuskan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes ini melampaui keraguan munasabah.

"Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan di akhir kes pembelaan," katanya.

Siti Hajar berkata, alasan terhadap keputusan itu mengambil kira keterangan tertuduh yang tiada pengetahuan terhadap aktiviti basikal lajak di situ, adalah munasabah.

"Tertuduh menyatakan beliau tidak tahu ada aktiviti basikal lajak pada waktu malam dan tiada sebarang amaran terhadap aktiviti berkenaan di situ.

"Keterangan tertuduh dia berada di lorong paling kiri lokasi kejadian iaitu Jalan Lingkaran Dalam juga bertepatan dengan hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), yang mendapati kenderaan tertuduh sama ada dipandu pada kelajuan 44.5 kilometer sejam atau 75.8 kilometer sejam.

"Lokasi kejadian itu juga mendaki bukit yang berselekoh dengan keadaan yang gelap dan tertuduh menyatakan tidak nampak ada kumpulan basikal lajak yang memenuhi ketiga-tiga lorong jalan iaitu di bahu, tepi dan tengah jalan di sebalik selekoh berbukit itu.

"Terdapat keraguan identiti pemandu sebenar kereta yang didakwa dipandu tertuduh, berikutan terdapat kemungkinan munasabah tertuduh menumpang kereta yang dipandu rakan, berikutan terdapat saksi mata kewujudan seorang lelaki Cina di lokasi kejadian yang didakwa rakan tertuduh," katanya.

Mahkamah turut mengarahkan lesen memandu tertuduh yang sebelum ini digantung, dikembalikan semula kepadanya dengan serta-merta.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abd Rahman, manakala Ke Ting diwakili Muhammad Faizal Mokhtar.

Terdahulu, Ke Ting yang berbaju kemeja biru putih dan berseluar krim ditemani rakan tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah di sini pada 11.50 pagi.

Pada 18 Februari lalu, Mahkamah Tinggi di sini, mengarahkan Ke Ting yang dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan memandu secara melulu, hingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, empat tahun lalu, untuk membela diri.

Pesuruhjaya Kehakiman, Dr Shahanaz Sulaiman dilaporkan membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, sekali gus mengetepikan perintah dibuat Mahkamah Majistret pada Oktober 2019 untuk melepas dan membebaskan Sam Ke Ting.

Pada 28 Oktober dua tahun lalu, Mahkamah Majistret Johor Bahru melepas dan membebaskan jurujual wanita berkenaan daripada tuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal lajak berkenaan.

Majistret Siti Hajar dilaporkan membuat keputusan itu terhadap Ke Ting, tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie pada akhir kes pendakwaan.

Sepanjang perbicaraan bermula Ogos 2017, 46 saksi pendakwaan dan 214 eksibit dikemuka di mahkamah.

Pada 10 November tahun lalu, pihak pendakwaan dilapor memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang melepas dan membebaskan jurujual wanita itu.

Pengarah Pendakwaan Negeri Johor ketika itu, Amir Nasruddin, dilaporkan berkata, notis rayuan difailkan pihaknya selepas mendapati dan percaya ada merit memfailkan notis terhadap beberapa isu.

Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan kesalahan di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, pada 3.20 pagi 18 Februari 2017.

Remaja yang maut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda, selain lesen memandu digantung, sekiranya disabit kesalahan.

Jurujual, Sam Ke Ting,  dibebaskan dan dilepaskan dari pertuduhan memandu secara melulu dan menyebabkan kematian 8 remaja basikal lajak empat tahun lalu di Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Jurujual, Sam Ke Ting, dibebaskan dan dilepaskan dari pertuduhan memandu secara melulu dan menyebabkan kematian 8 remaja basikal lajak empat tahun lalu di Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 4:10 PM