NOR Farahim  menunjukkan mesin air yang hangus dijilat api akibat  mengisi petrol berhampiran  lilin   di Kampung Telaga Bata.
NOR Farahim menunjukkan mesin air yang hangus dijilat api akibat mengisi petrol berhampiran lilin di Kampung Telaga Bata.
Siti Rohana Idris

Tumpat: Seorang lelaki melecur tangan kanan akibat disambar api lilin yang tiba-tiba marak selepas terkena petrol, kelmarin.

Kejadian jam 7.30 malam berlaku ketika Mohd Hafiz Bakri, 29, memindahkan petrol daripada tong besar ke botol kecil untuk dijual di kedai runcit keluarganya di Kampung Telaga Bata, di sini.

Dia memindahkan minyak itu berhampiran lilin yang dinyalakan berikutan bekalan elektrik terputus.

Ibunya, Siti Nor Ismail, 52, berkata, bekalan elektrik terputus sejak jam 4 petang dan memaksa mereka menyalakan lilin.

“Hafiz ketika itu mahu memindahkan petrol ke botol kecil untuk jualan kepada penduduk kampung dan disebabkan gelap, maka dia buat kerja dekat dengan lilin.

“Tiba-tiba api lilin menyambar minyak yang sedang diisi sebelum terkenanya. Dia segera berlari menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui, semalam.

Siti Nor berkata, beberapa pelanggan yang berada di dalam kedai turut membantu memadamkan api menggunakan air longkang berhampiran.

Malangnya, tindakan itu menyebabkan api lebih marak dan penduduk kampung mengambil alat pemadam api dari kedai kopi berhampiran dan menyemburkannya ke arah api.

Seorang lagi anak Siti Nor yang turut berada di lokasi, Nor Farahim Bakri, 24, pula segera membawa keluar beberapa tong gas petroleum cecair kerana bimbang meletup.

Mohd Hafiz kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Bunohan untuk rawatan.

“Syukur kami bertiga selamat dan hanya mesin air serta televisyen yang hangus dalam kebakaran itu.

“Mujur juga beberapa tong petrol yang lain disimpan di stor tidak disambar, kalau tidak pasti berlaku kebakaran besar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 10:35 AM