Pengurus Besar TNB Johor, Mohamed Noh Md Seth mengunjungi keluarga mangsa kebakaran di Kampung Skudai Kiri di sini, petang semalam. FOTO Mary Victoria Dass
Pengurus Besar TNB Johor, Mohamed Noh Md Seth mengunjungi keluarga mangsa kebakaran di Kampung Skudai Kiri di sini, petang semalam. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Nasib malang menimpa keluarga mangsa kebakaran di Jalan Kupang 4, Batu 4, Kampung Skudai Kiri menerima perhatian daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang bakal menyalurkan bantuan bagi membaik pulih rumah mereka.

Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Johor, Mohamed Noh Md Seth berkata, pihaknya bersimpati dengan dugaan yang menimpa keluarga berkenaan yang berlaku ketika bulan Ramadan.

Menurutnya, pihaknya mengunjungi keluarga berkenaan serta meninjau keadaan rumah yang musnah dalam kebakaran.

"Kami mendapati keluarga berkenaan masih dalam proses mengumpul dana bagi tujuan membaikpulih rumah.

"Kami akan menyalurkan sejumlah bantuan bagi meringankan beban keluarga berkenaan," katanya ketika mengunjungi keluarga berkenaan, petang semalam.

Pada 12 April lalu, Harian Metro melaporkan sebuah keluarga tinggal sehelai selepas api lilin mengakibatkan kebakaran sekaligus memusnahkan rumah mereka.

Keluarga berkenaan bergantung kepada cahaya lilin pada waktu malam sejak enam bulan lalu selepas bekalan elektrik dipotong.

Mangsa kebakaran, Normah Ibrahim, 45, berkata keluarganya bersyukur dengan keprihatinan ramai.

"Kami berterima kasih kepada beberapa agensi yang tampil menyalurkan bantuan dan membawa sinar baharu dalam kehidupan kami," katanya.

Sementara itu, Amin Baitulmal Johor Bahru, Firdaus Abd Hamid berkata, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) berkata, pihaknya menyalurkan bantuan bencana RM2,000.

Menurutnya, pihaknya berharap bantuan berkenaan digunakan dengan sebaik mungkin.

"Kami berharap keluarga berkenaan tabah dengan dugaan dihadapi," katanya yang mengunjungi keluarga berkenaan di sini, semalam.

Dalam kejadian 9.30 malam, Selalu lalu, kediaman Normah musnah dalam kebakaran yang dipercayai berpunca daripada api lilin.

Kos bagi membaikpulih rumah berkenaan dianggarkan RM30,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 4:53 PM