PENGERUSI Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan menyampaikan Bantuan Anak Sekolah kepada penerima di Pusat Khidmat DUN Klawang hari ini. FOTO Abnor Hamizam
PENGERUSI Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan menyampaikan Bantuan Anak Sekolah kepada penerima di Pusat Khidmat DUN Klawang hari ini. FOTO Abnor Hamizam
Abnor Hamizam Abd Manap


PROGRAM Bantuan Anak Sekolah (BAS) diperkenal kerajaan Negeri Sembilan memberi manfaat kepada 72 penerima dari Dewan Undangan Negeri (Dun) Klawang, hari ini.

Penerima, Zaini Maisurah Zamrus, 29, dari Kuala Klawang, Jelebu, berkata dia gembira kerana bantuan BAS meringan beban perbelanjaan keluarganya.

Katanya, dua daripada tiga anaknya yang bersekolah menerima bantuan berjumlah RM300 seorang itu.

"Alhamdulillah, biarpun dua anak terima, ia sudah cukup bermakna tambahan pula ketika kita masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Kita bukan sahaja perlu memikirkan perbelanjaan harian keluarga, malah perbelanjaan sekolah anak," kata suri rumah yang turut mempunyai dua lagi cahaya mata itu.

Zaini Maisurah berkata, pendapatan suami yang tidak menentu kerana hanya melakukan kerja kampung menyebabkan dia gembira dengan bantuan berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembila, Bakri Sawir berkata, bagi Parlimen Jelebu, seramai 251 penerima layak menerima bantuan BAS yang turut membabitkan Dun Chennah, Pertang dan Sungai Lui.

Bakri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klawang berkata, penerima yang layak disenarai pendek pihak sekolah dan bayaran bantuan dimasukkan terus ke akaun ibu bapa atau penjaga.

BAS diperkenalkan pada tahun lalu dengan setiap penerima menerima bantuan RM50 sebulan dan tahun ini seramai 1,818 murid sekolah rendah dan pelajar tingkatan satu menerima bantuan berkenaan membabitkan peruntukkan RM1 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2020 @ 3:32 PM