BAKRI (dua kiri) menandatangan plak simbolik penyerahan rumah sambil diperhatikan Abdul Rahim (kiri). FOTO Abnor Hamizam
BAKRI (dua kiri) menandatangan plak simbolik penyerahan rumah sambil diperhatikan Abdul Rahim (kiri). FOTO Abnor Hamizam
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: "Saya gembira kerana akhirnya adik lelaki ada rumah sendiri dan selepas ini tidak lagi tidur di bawah jambatan.

"Saya akan belikan katil dan tempat menyimpan pakaian untuknya dan berharap dia selesa tinggal di rumah itu," kata Otemah Siku, 72 dari Kampung Mengkan Luar, Kuala Klawang iaitu kakak kepada Kamarolzaman, 57.

Katanya rumah yang dibina itu sesuai untuk adiknya yang bujang dan ia turut dilengkapi dengan bilik air.

Otemah berkata, rumah itu dibina berhampiran rumahnya bagi memudahkan adiknya datang ke rumah untuk makan dan minum.

"Sebelum ini adik lebih suka tidur di bawah jambatan yang hanya terletak 200 meter dari rumah berikutan tidak mempunyai rumah sendiri.

"Pernah diajak tinggal bersama dengan adik-beradik lain namun dia tidak mahu menyusahkan adik-beradiknya," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan rumah oleh Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Klawang, Bakri Sawir.

Turut hadir Pegawai Daerah Jelebu Abdul Rahim A Aziz.

Otemah berkata, dia terharu nasib adiknya itu mendapat perhatian ADUN Klawang yang sebelum itu berjanji mahu menyelesaikan masalah adiknya itu.

Sementara itu Bakri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian Dan Industri Makanan Negeri Sembilan berkata, rumah berharga RM9,650 itu dibina menerusi peruntukan DUN.

Katanya ia mengambil masa tiga minggu untuk disiapkan dan berharap penerima akan tinggal di rumah berkenaan.

"Saya ucap terima kasih kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan ( NGO ) yang memaklumkan keadaan lelaki itu sebelum ini dan seterusnya mengambil tindakan susulan dengan membina sebuah rumah buatnya.

Harian Metro pada 9 Oktober lalu menyiarkan kisah lelaki yang tidur di bawah jambatan berikutan tidak mempunyai rumah.

Berita berkaitan:

  • Tidur bawah jambatan enggan susahkan keluarga
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 10:34 AM