GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 18 Mei depan sebagai tarikh keputusan kes menghina mahkamah terhadap pemilik syarikat ADN Properties Sdn Bhd, Datuk Seri Adenan Abu, 44 kerana gagal mendedahkan butiran wang RM 10 juta yang dikeluarkan menerusi akaun syarikat itu.

Butiran berkenaan diminta mahkamah pada 21 Februari 2020 selepas memperoleh perintah injuksi Mareva bagi membekukan aset dan mewajibkan pendedahan penuh kepada plaintif mengenai status akaun bank syarikat berkenaan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar membuat keputusan itu selepas mendengar hujah yang dibawa peguam defendan dan peguam plaintif.

Terdahulu ketika sesi rayuan, Adenan Abu atau dikenali sebagai Datuk Red berkata, dia mengaku melakukan kesilapan dengan gagal memberikan maklumat kepada peguamnya.

"Saya memohon maaf kepada mahkamah kerana saya mempunyai kakitangan yang tidak mengetahui selok belok mengenai perakaunan dan saya juga tidak mempunyai pendidikan yang tinggi disebabkan itu saya gagal untuk menyediakan dokumen lengkap kepada mahkamah.

"Saya hanya menggunakan kontraktor kampung yang mana segala transaksi dilakukan secara tunai dan tidak diberikan resit, saya akui kesilapan saya," katanya.

Sebelum ini dua individu memfailkan saman terhadap ADN Properties Sdn Bhd dan dua pengarahnya termasuk suami kepada penyanyi Adira Suhaimi iaitu Adenan Abu yang juga dikenali sebagai Datuk Red.

Mohamad Syaimi Amri Marzuki dan Mohd Hisham Junid sebagai plaintif memfailkan saman itu pada 13 November 2019 di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui peguam mereka, Bhavanash Sharma dari Tetuan Bhavanash Sharma.

Berdasarkan writ dan penyata tuntutan, kedua-dua plaintif menuntut defendan memulangkan harga pembelian RM234,000, ganti rugi untuk kemungkinan kontrak dan pengkayaan tidak patut, ganti rugi penipuan dan ganti rugi kecuaian profesional terhadap firma guaman Sanisah Khairun & Co.

Selain itu, mereka menuntut ganti rugi am, teladan dan keterlaluan selain kos serta relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Kedua-dua plaintif mendakwa ada membeli enam plot tanah di Mukim Hulu Langat daripada ADN Properties yang mendakwa tanah itu milik mereka.

Mereka mendakwa semua defendan membuat konspirasi penjualan tanah rizab Melayu itu sehingga mendorong mereka melabur semua wang simpanan mereka.

Plaintif mendakwa semua defendan melakukan penipuan dan menyebabkan Perjanjian Jual Beli (SPA) bertarikh 18 Januari 2016 dan 12 Januari 2016 dikeluarkan melalui firma yang tidak wujud pada 29 Julai 2015

Sementara itu, peguam mewakili plaintif, Bhavanash Sharma berkata, mahkamah perlu memberikan hukuman setimpal kerana sudah memohon dokumen lengkap berkenaan sejak dua tahun lalu lagi.

Pihak defendan diwakili peguam Mariam Nikmat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 3:19 PM