ANGGOTA Batalion 9 PGA merampas 11,520 karton rokok seludup dalam lori di Tanah Merah, hari ini. FOTO ihsan PGA.
ANGGOTA Batalion 9 PGA merampas 11,520 karton rokok seludup dalam lori di Tanah Merah, hari ini. FOTO ihsan PGA.
Siti Rohana Idris


BATALION 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 11,520 karton rokok seludup bernilai RM1,133,568 dari sebuah lori di Tanah Merah, hari ini.

Dalam rampasan 8 pagi itu, sepasukan anggota yang menjalankan rondaan ternampak lori menghala ke Lebuhraya Tanah Merah-Pasir Mas dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, menyedari kehadiran pihak berkuasa, pemandu lori terbabit masuk ke lorong sebuah hotel di bandar Tanah Merah lalu memberhentikan kenderaan itu di bahu jalan.

"Tanpa mematikan enjin, pemandu lori bertindak keluar dari lori dan melarikan diri ke arah semak berhampiran.

"Anggota kami cuba mengejar, namun kelibatnya gagal dikesan dan hasil pemeriksaan di dalam lori terbabit menemui 144 kotak yang mengandungi 11,520 karton rokok seludup," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, anggotanya menunggu selama 30 minit namun tiada individu datang menuntut dan semua barang rampasan dibawa ke Balai Polis Tanah Merah untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, semua rokok seludup itu dipercayai dibawa masuk dari Klang, Selangor untuk pasaran Kelantan serta Terengganu dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

"Sepanjang tempoh penugasan selama tujuh hari di kawasan tanggungjawab (KTJ) Op Benteng Covid-19 Kelantan, sebanyak 19 kes berjaya dicatatkan dengan anggaran nilai rampasan RM1,534,801.60.

"Kami sentiasa komited menjalankan tugasan terutama dalam mengawal sempadan negara bagi mengekang aktiviti penyeludupan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 9:21 PM