Masdi (tengah) dan anaknya masing-masing dijatuhi hukuman penjara di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Masdi (tengah) dan anaknya masing-masing dijatuhi hukuman penjara di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Dua beranak terlepas hukuman gantung selepas masing-masing dijatuhi hukuman penjara di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, di sini, hari ini kerana memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 665.77 gram, dua tahun lalu.

Tertuduh, Masdi Mamat, 54, dan anaknya, Muhammad Shafiq Haikal, 24, sebelum ini berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa kepada hukuman gantung jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, mereka ditawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 yang membawa hukuman mengikut Seksyen 39A(2) akta sama.

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun terhadap Masdi, manakala Muhammad Shafiq Haikal pula dihukum penjara 14 tahun dan 10 sebatan selepas kedua-duanya mengaku salah terhadap pertuduhan berkenaan.

Bagaimanapun, Masdi dikecualikan daripada hukuman sebatan mengikut Seksyen 289 (c) Tatacara Jenayah yang menyatakan tertuduh berusia 50 tahun ke atas dikecualikan daripada sebatan.

Selain itu, seorang lagi tertuduh iaitu Shamsiah Awang, 50, yang juga isteri kepada Masdi yang berdepan pertuduhan sama terlepas daripada pertuduhan berkenaan apabila pihak pendakwaan menyatakan hasrat untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 665.77 gram di sebuah rumah di Jalan Jati Kampung Bukit Kuang, Kemaman pada jam 1.30 pagi pada 19 Julai 2020.

Tertuduh yang berdepan hukuman mengikut Seksyen 39A(2) akta sama boleh dipenjara seumur hidup atau satu tempoh tidak kurang lima tahun dan sebatan tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fadhli Mahmud dan Amer Abu Bakar Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Bob S Arumugam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 5:54 PM