BILAL Baba melihat keadaan pondoknya yang musnah terbakar. FOTO Nuraliawati Sabri
BILAL Baba melihat keadaan pondoknya yang musnah terbakar. FOTO Nuraliawati Sabri
Nuraliawati Sabri

Melaka: "Saya menangis sejurus berjaya keluar menyelamatkan diri. Saya menangis bukan kerana sedih ( pondok terbakar ) tetapi bersyukur kerana nyawa masih selamat," ujar warga emas yang juga mangsa kebakaran Bilal Baba, 82.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi tadi, pondok didiami warga emas itu di tanah pusakanya di Taman Tangga Batu, Tanjung Kling di sini, hangus menyebabkan dia tinggal sehelai sepinggang.

Dia yang tinggal seorang diri di pondok itu memaklumkan terjaga dari tidur dan menyedari api sudah marak membakar pondoknya.

"Ketika itu cuaca gelap, saya menjerit meminta tolong. Mujurlah ada jiran yang mendengar.

"Mungkin api lilin yang dipasang menjadi punca kebakaran. Saya bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan teruk cuma ada kesan melecur di kaki," katanya.

Menurutnya, dia kini hilang tempat berteduh dan mungkin akan tinggal bersama anaknya buat sementara waktu.

"Sejak isteri meninggal dunia lebih 25 tahun lalu, saya tinggal sendirian di sini," katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.39 pagi sebelum sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu bergegas ke lokasi kejadian bersama lapan anggota.

"Kebakaran membabitkan hampir keseluruhan premis iaitu sebanyak 90 peratus.

Kebakaran dapat dipadam sepenuhnya pada jam 7.05 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2022 @ 4:20 PM