SHAMSURI dan Malaitimah menyampaikan wang tunai sumbangan Tunku Mahkota Johor kepada Pak Din.
SHAMSURI dan Malaitimah menyampaikan wang tunai sumbangan Tunku Mahkota Johor kepada Pak Din.
Mohd Sah Muda


Kesulitan seorang warga emas Zainindin Maarof, 78, yang tinggal di pondok usang di Kawasan Buku Hijau Kampung Pengkalan Batu, Mersing, turut mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim.

Zainindin dikunjungi Pemangku Ketua Kampung Pengkalan Batu Shamsuri Yusof dan Ketua Pergerakan Wanita Cawangan Pengkalan Batu Malaitimah Bandi bagi menyampaikan sumbangan Tunku Mahkota Johor kepada warga emas itu yang uzur di pondoknya.

Nuansa pernah menyiarkan penderitaan Zainindin atau lebih dikenali sebagai Pak Din yang terpaksa menumpang teduh di pondok usang atas belas kasihan seorang penduduk kampung itu, sejak 13 tahun lalu.

Tanpa bekalan air dan elektrik, pondok usang berkenaan kira-kira satu setengah kilometer dari kampung berkenaan dan perlu menggunakan jalan tanah merah yang hanya boleh dilalui motosikal.

Pak Din sebelum ini pernah tinggal di Desa Bina Diri (DBD), sebuah pusat pemulihan kutu rayau di Kampung Sawah Datuk, Mersing, selama dua tahun.

Bagaimanapun, dia dikeluarkan dari pusat itu dengan alasan sudah boleh berdikari.

Dia tinggal sebatang kara kerana tiada keluarga dan tidak pernah berkahwin disebabkan mempunyai penyakit darah kotor.

Zainindin yang berasal dari Suluh Rantau, Negeri Sembilan mempunyai dua adik perempuan yang sudah berkeluarga dan pernah tinggal di Kuala Lumpur menjadi pemandu lori, namun terpaksa berhenti disebabkan masalah kesihatan.

Pak Din kini uzur dan tidak boleh berjalan seperti biasa kerana kaki kiri bengkak sehingga hidup mengharapkan belas kasihan orang ramai.

Shamsuri yang mewakili Pegawai Daerah Mersing berkunjung ke rumah Pak Din bagi menyampaikan sumbangan Tunku Mahkota Johor yang simpati dengan nasib warga emas berkenaan.

“Semoga sumbangan ini dapat meringankan sedikit beban ditanggung Pak Din buat sementara waktu.

“Kami akan mencari jalan terbaik untuk membantunya termasuk membersihkan kawasan rumah berkenaan yang tidak terurus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2016 @ 9:53 AM