Mangsa diusung keluar sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan.
Mangsa diusung keluar sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan.
Juwan Riduan


Penampang: Seorang lelaki warga emas maut dihempap dahan pokok yang ditebangnya ketika membersihkan kebun di Rugading Kibambangan, dekat sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa berusia 69 tahun membersihkan kebun bersama seorang anaknya.

Katanya, tiba-tiba dahan kayu yang ditebang oleh mangsa terkena kepalanya menyebabkan mangsa menjerit kesakitan dan meminta tolong.

"Anak mangsa kemudian segera menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang tiba di lokasi kejadian dan memberi bantuan kecemasan.

"Ketika mangsa dibawa keluar dari kebun itu, pasukan perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

"Siasatan awal juga mendapati mangsa sudah berada di kebun itu selama seminggu," katanya.

Sementara itu, jurucakap JBPM Sabah, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.46 pagi dan seterusnya pasukan BBP Penampang digerakkan ke lokasi kejadian dengan jarak 13 kilometer dari balai.

Katanya, operasi diketuai seorang pegawai bersama tiga anggota serta sebuah jentera kecemasan Emergency Medical Rescue Services (EMRS).

"Setiba di lokasi, pasukan membuat pemerhatian awal seterusnya menggunakan laluan pejalan kaki sejauh satu kilometer ke lokasi mangsa yang dipercayai dihempap pokok.

"Pasukan EMRS melakukan rawatan awal dan mangsa di bawa ke lokasi selamat dengan menggunakan sebelum diserahkan kepada pihak perubatan untuk rawatan susulan," katanya.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi tamat pada jam 2.35 petang tadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 6:33 PM