KEADAAN mangsa yang ditemukan maut di dalam keretanya di kawasan Tanah Perkuburan Kampung Divatto, Penampang. FOTO Juwan Riduan.
KEADAAN mangsa yang ditemukan maut di dalam keretanya di kawasan Tanah Perkuburan Kampung Divatto, Penampang. FOTO Juwan Riduan.
Juwan Riduan


Penampang: Akibat mempunyai masalah cinta dengan kekasih, seorang lelaki ditemukan mati di dalam kenderaannya di kawasan Tanah Perkuburan Kampung Divatto, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa berusia 40-an ditemui abang kandungnya dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, abang mangsa memaklumkan adiknya berada dalam tidak sedarkan diri dan dipercayai sudah meninggal.

"Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa berada di tempat duduk pemandu dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Siasatan lanjut menemui satu saluran hos yang disambungkan dari ekzos kenderaan ke dalam kereta melalui cermin pintu belakang," katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohd Haris berkata, kejadian dipercayai dilakukan sendiri oleh mangsa berdasarkan tiada sebarang unsur-unsur jenayah dikesan di lokasi.

"Pihak polis percaya mangsa membunuh diri akibat masalah dengan kekasih berdasarkan nota yang mangsa tinggalkan di dalam kereta.

"Kini mayat mangsa dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu untuk bedah siasat.

"Siasatan masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 3:25 PM