KENDERAAN yang disita polis menerusi Op Tutup. FOTO ihsan polis
KENDERAAN yang disita polis menerusi Op Tutup. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Proton Wira Turbo yang tular di YouTube selepas kenderaan itu diubah suai sehingga mengeluarkan bunyi bising akhirnya ditahan polis dalam operasi malam tadi.

Operasi dijalankan bermula 10 malam hingga 4 pagi itu diadakan di sekitar pusat bandar, Jalan Pahang, Jalan Tun Razak , Jalan Kuching, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut dan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, Op Tutup dijalankan bagi menumpukan kenderaan yang parkir di kiri dan kanan Jalan Raja Laut, membuat bising dan mengganggu ketenteraman awam.

Menurutnya, sebanyak 25 kereta disita yang mana salah satunya Proton Wira yang sebelum ini tular selepas pemiliknya memuat naik video kenderaannya itu di YouTube.

"Semua kereta yang disita disiasat mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan.

"Kenderaan yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta diarahkan mengubah ke struktur asal.

"Secara keseluruhan, sebanyak 661 jumlah saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 53 motosikal disita atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sarifudin berkata, dalam operasi itu, 22 lelaki berusia 20 hingga 67 tahun ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Lima lelaki berusia 17 hingga 25 tahun pula ditahan kerana menunggang dalam keadaan merbahaya dan melakukan aksi zig-zag, roket, Superman serta bersaing untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Dua lelaki berusia 22 hingga 25 tahun melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan akan dituduh mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memalsukan nombor pendaftaran kenderaan," katanya.

Beliau berkata, seorang lelaki warga China berusia 44 tahun pula disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan menghalang tugas penjawat awam apabila diminta berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2022 @ 1:53 PM