ANGGOTA JSPT menjalankan pemeriksaan terhadap aspek keselamatan pengayuh basikal di ibu kota. FOTO ihsan polis
ANGGOTA JSPT menjalankan pemeriksaan terhadap aspek keselamatan pengayuh basikal di ibu kota. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur mengadakan operasi khas sempena Deepavali 2021 dengan tumpuan utama adalah kepada pengayuh basikal di sekitar bandaraya Kuala Lumpur, malam tadi.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, dalam operasi bermula 9 malam itu, kira-kira 30 pengayuh basikal diberi nasihat dan penerangan berkaitan tatacara menunggang basikal dengan betul dan selamat.

"Penunggang basikal yang melanggar undang-undang jalan raya boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959," katanya.

Sarifudin berkata, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu yang memperuntukkan hukuman denda RM1,000 hingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan.

"Kegagalan mematuhi papan tanda lalu-lintas yang melarang berbasikal di lebuh raya boleh menyebabkan individu itu dikenakan tindakan mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh didenda tidak kurang RM300 dan tidak melebihi RM2,000.

"Manakala Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pula membolehkan basikal disita jika melakukan mana-mana kesalahan berbasikal," katanya.

Beliau berkata, selain itu, penunggang yang didapati tidak memasang lampu depan dan belakang pada basikal boleh dikenakan tindakan mengikut Kaedah 35, Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959, Kaedah 42 dan Kaedah 43 boleh dikenakan jika basikal tiada brek dan loceng sebagai ciri keselamatan serta menunggang secara berkumpulan iaitu tidak berada dalam satu deretan.

Sementara itu, beliau berkata, dalam Op Motosikal / Op Pelbagai Kesalahan pula, polis menahan tujuh lelaki berusia 25 hingga 43 tahun mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Kesemua tangkapan dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh mengikut seksyen yang sama," katanya.

Katanya, secara keseluruhan, sebanyak 327 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan lapan motosikal disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan.

"Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta diarahkan mengubah ke struktur asal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 10:19 AM