ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan ke atas penunggang motosikal di sekitar pusat bandar. FOTO Ihsan JSPT Kuala Lumpur.
ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan ke atas penunggang motosikal di sekitar pusat bandar. FOTO Ihsan JSPT Kuala Lumpur.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Tindakan dua penunggang motosikal melakukan aksi zig zag, roket dan superman serta bersaing sesama sendiri di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) di sini, mengundang padah apabila ditahan polis, semalam.

Kedua-dua lelaki berusia 19 dan 20 tahun itu ditahan Operasi Samseng Jalanan yang dilaksana Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur.

Ketua JSJT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar dan bakal didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Dalam Operasi Pelbagai pula, polis menahan sembilan lelaki berusia lingkungan 25 hingga 33 tahun kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 45(A) APJ 1987 iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sarifudin berkata, pihaknya turut mengadakan operasi sama dan Ops Motosikal pada hujung minggu ini secara bersasar di kawasan yang mempunyai aduan di sekitar pusat bandar.

Menurutnya, sejak 17 September lalu, operasi dilaksana di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Tun Razak, Jalan Raja Laut, Jalan Loke Yew dan di Lebuhraya Duke yang menyaksikan 551 jumlah saman pelbagai kesalahan dikeluarkan.

"Sebanyak 12 motosikal pula disita mengikut mengikut Seksyen 64 APJ 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos) dan pemeriksaan akan dibuat pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) termasuk arahan mengubah kembali kepada struktur asal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 10:35 AM