Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Usahawan hartanah Muhammad Azlan Al-Amin memfailkan saman RM10 juta ke atas seorang lelaki yang didakwa memuat naik kenyataan berunsur fitnah di media sosial sehingga menyebabkan reputasinya sebagai ahli perniagaan tercemar.

Muhammad Azlan berkata, dia memfailkan saman fitnah itu pada 28 Mac lalu melalui Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM) untuk membersihkan nama baiknya kepada beberapa individu termasuk anak kepada bapa angkatnya.

Menurutnya, beliau berharap Mahkamah Tinggi Shah Alam dapat memutuskan keadilan buat dirinya.

"Saya percaya mahkamah akan membuat keputusan yang bijak dan saksama.

"Kenyataan berunsur fitnah di laman sosial Facebook itu menyebabkan saya mengalami kerugian apabila ada rakan perniagaan menarik diri daripada bekerjasama malah ada pelabur yang sudah melabur juga berbuat demikian," katanya pada sidang media di pejabat HWAM, di sini, hari ini.

Beliau yang juga peneraju Azlan Al-Amin Group Holdings Sdn Bhd berkata, setakat ini ada sebahagian kenyataan individu terbabit di media sosial Facebook sudah dipadam ada yang belum lagi.

"Saya tidak dapat kenal pasti apa motif sebenarnya (difitnah).

"Saya pernah cuba menghubungi pihak mereka (defendan), tetapi tidak diberi kerjasama sewajarnya. Saya pernah juga memberi ruang perkara ini diselesaikan (secara) elok.

"Tetapi kita lihat kenyataan ini (fitnah) berterusan dan berkali-kali dan ini sangat mewajarkan tindakan saman ini diambil," katanya.

Sementara itu, peguamnya Datuk Wan Azmir Wan Majid berkata, tindakan undang-undang saman fitnah RM10 juta itu bertujuan membersihkan nama baik Muhammad Azlan dan memberi pengajaran kepada individu terbabit.

"Pihak defendan ada melantik peguam dan kita tunggu minggu depan mereka akan menjawab tuntutan itu. Ada dua kemungkinan sama ada dia menafikan atau menyatakan memang benar dia mengeluarkan kenyataan itu.

"Jika dilihat kenyataan dimuat naik itu berbaur fitnah dan sama ada betul atau tidak biar mahkamah tentukan," katanya.

Beliau berkata, kerosakan sudah berlaku dan jika tidak diambil tindakan perkara ini akan terus berlaku dan sampai bila anak guamnya akan terus difitnah.

Sebelum ini media melaporkan, Muhammad Azlan mendakwa menerima pelbagai tohmahan berikutan status yang dimuat naik ahli keluarga arwah bapa angkatnya di laman Facebook.

Beliau didakwa melarikan diri dan mencagar geran tanah milik arwah bapa angkat sehingga tanah itu dilelong oleh pihak bank.

Beliau juga dituduh hidup senang kerana menipu sehingga mendapat kecaman teruk.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 7:29 PM
MUHAMMAD Azlan memfailkan tuntutan saman RM10 juta terhadap seorang lelaki didakwa memuat naik kenyataan berunsur fitnah di media sosial. FOTO Fathil Asri
MUHAMMAD Azlan memfailkan tuntutan saman RM10 juta terhadap seorang lelaki didakwa memuat naik kenyataan berunsur fitnah di media sosial. FOTO Fathil Asri