GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengarahkan seorang pemilik akaun Facebook memfailkan pernyataan pembelaan selewat-lewatnya 15 Januari untuk menjawab saman difailkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu selaku plaintif memfailkan saman terhadap pemilik akaun N13 Kuang, Mohd Fauzan Madzlan pada 5 September lalu atas dakwaan memfitnah.

Dia mendakwa kononnya Ketua Penerangan PKR itu memberikan ceramah politik dalam masjid di Rawang, Selangor, sekali gus menyalahgunakan kemudahan itu.

Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi yang mewakili Fahmi berkata, mahkamah turut mengarahkan plaintif memfailkan jawapan kepada pembelaan sebelum atau pada 29 Januari depan.

"Mahkamah menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 7 Februari 2024 untuk kedua-dua pihak mengemas kini status pemfailan dan pemfailan interlokutori," katanya selepas pengurusan kes secara e-Review di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Nur Shasha Hidayah Nor Azahar, hari ini.

Selain Mohd Fauzan, Fahmi juga memfailkan saman terhadap penceramah bebas, Ahmad Dusuki Abd Rani serta Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai 'Papagomo' berhubung isu sama.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Fahmi mendakwa ketiga-tiga defendan menyiarkan fitnah yang mendakwanya menyalahgunakan tempat beribadah iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah dan perintah Sultan Selangor.

Fahmi mendakwa kata-kata fitnah itu disiarkan di Facebook milik Mohd Fauzan serta akaun Facebook dan Instagram milik Ahmad Dusuki pada 31 Julai lalu, manakala di akaun TikTok dan Facebook Wan Muhammad Azri pada 1 Ogos.

Menurut Fahmi, kenyataan fitnah itu tidak berasas dan pihak Majlis Agama Islam Selangor mengesahkan bahawa beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik seperti mana yang difitnah oleh defendan.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teruk atau teladan, dan perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada mengulangi atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu.

Plaintif turut mendakwa kenyataan fitnah itu dibuat bertujuan memburukkan nama baiknya demi mendapatkan publisiti murahan atau mewujudkan sensasi dalam arena politik negara selain menjejaskan reputasinya sebagai Ahli Parlimen dan Menteri Kabinet.

Menurut plaintif, pihaknya sudah menghantar surat tuntutan bagi ketiga-tiga individu itu menarik balik kenyataan fitnah berkenaan, membayar ganti rugi dan menyiarkan permohonan maaf kepada plaintif, namun sehingga kini mereka gagal berbuat demikian.

Fahmi mendakwa tiga defendan itu masih mengekalkan kenyataan fitnah berkenaan dalam laman sosial mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2023 @ 4:35 PM