MOHD Nazree dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas pertuduhan melakukan pengabaian sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak kurang upaya tahun lalu. FOTO Ahmad Hasbi
MOHD Nazree dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas pertuduhan melakukan pengabaian sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak kurang upaya tahun lalu. FOTO Ahmad Hasbi
Ahmad Hasbi


Seremban: Pemandu van dihadapkan Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan kesalahan pengabaian sehingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan kurang upaya tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Nazree Uzir, 35, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan pengabaian dengan meninggalkan kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di dalam sebuah van jenis Kia Pergio miliknya sehingga mendatangkan kematian.

Kesalahan itu dilakukan di dalam sebuah van yang berada di hadapan sebuah rumah di Jalan Nusari Bayu pada 12 Oktober 2021 antara jam 2.45 petang sehingga 5.30 petang.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, peguam Noliana Ali Othman dalam rayuannya memohon jaminan terhadap anak guamnya dikurangkan berikutan tertuduh mempunyai seorang isteri dan dua anaknya selain hilang pendapatan susulan kes berkenaan.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan dilarang mengganggu keluarga mangsa sehingga kes selesai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung.

Sebutan semula pada 9 Mei depan.

Harian Metro pada Oktober lalu melaporkan kanak-kanak perempuan autisme ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia, selepas terkurung di dalam sebuah van selama tiga jam.

Kejadian berlaku di hadapan rumah pemandu van di Bandar Sri Sendayan, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 12:17 PM