GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Seramai 177 pelanggan sebuah pusat hiburan di Jalan Metro Pudu di sini, dikenakan kompaun RM1,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN), awal pagi ini.

Serbuan jam 1.30 pagi dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, hasil maklumat awam dan risikan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, ketika serbuan dilakukan terdapat 125 pelanggan lelaki tempatan dan 52 wanita tempatan dalam premis berkenaan.

"Polis mengeluarkan kompaun mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) PPN 2021.

"Serbuan itu turut menahan seorang lelaki yang juga penjaga premis kerana gagal mengemukakan lesen perniagaan yang sah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis merampas pelbagai peralatan hiburan, empat botol minuman keras, resit perniagaan dan wang tunai berjumlah RM180.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah dan pelanggaran SOP supaya menghubungi Hotline Polis Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 5:40 PM