GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis sedang mengesan seorang lelaki bertindak melarikan diri dan melanggar kenderaan peronda polis yang mahu membuat pemeriksaan terhadap kenderaannya di Jalan Danau Saujana, Setapak di sini, pada 12 September lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kejadian berlaku 11.16 malam ketika anggota polis dari Balai Polis Setapak membuat rondaan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, anggota melihat sebuah kereta dinaiki seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan lalu berhenti untuk membuat pemeriksaan.

"Bagaimanapun, suspek secara tiba-tiba mengundur kenderaannya dan terlanggar sebuah kereta yang diletakkan di hadapan.

"Kemudian kereta dipandu suspek melanggar pintu kenderaan polis sebelum melarikan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan kejadian itu, beliau berkata, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Menurutnya, polis kini sedang giat mengesan suspek masih bebas dikenali sebagai Mohamad Hizami Ahmad, 25.

Beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, Inspektor Shahrul Azzuan Sharom di talian 016-2014334 atau 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2023 @ 6:34 PM