Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Tempahan kuih raya terus mendapat sambutan tahun ini berikutan orang ramai dijangka pulang ke kampung menyambut Aidilfitri selepas dua tahun beraya dalam suasana pandemik Covid-19.

Suri rumah, Habibah Mustafa, 36, berkata, dia bersyukur kerana tempahan kuih raya dihasilkannya di rumah mendapat sambutan ramai.

Katanya, dia kini mempunyai lima ejen di Kedah yang membuat tempahan kuih raya sejak bulan lalu.

"Saya beli bahan mentah seperti mentega, tepung gandum, gula dan telur dalam jumlah banyak mengikut tempahan diterima memandangkan ramai pelanggan dari luar Kedah membuat tempahan kerana akan pulang ke kampung, Aidilfitri nanti

"Harga bahan mentah agak mahal ketika ini, namun saya masih mengekalkan harga lama iaitu sekitar RM28 bergantung pada jenis kuih kecuali Almond London naik sehingga RM30 sebekas.

"Mujur dua jiran saya yang juga suri rumah turut membantu menyiapkan tempahan kuih raya setiap hari sehinggakan tak menang tangan kami membuatnya dari pagi hingga malam," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Cahaya, Hutan Kampung, di sini.

Habibah berkata, antara kuih yang mendapat tempahan ramai ialah Tart Nanas, Almond London, Snow Almond, Kacang Peas, Mazola, Samperit Kastart, Nutella dan Samperit Susu.

Menurutnya, tahun lalu dia hanya sempat menyiapkan 500 bekas kuih raya, namun tahun ini dia terpaksa menambah tempahan sehingga 700 bekas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 3:17 PM
HABIBAH (kanan) bersama pembantunya menyiapkan tempahan kuih raya yang semakin meningkat di rumahnya di Taman Cahaya, Hutan Kampung. FOTO Zuliaty Zulkiffli
HABIBAH (kanan) bersama pembantunya menyiapkan tempahan kuih raya yang semakin meningkat di rumahnya di Taman Cahaya, Hutan Kampung. FOTO Zuliaty Zulkiffli