HAMIDAH menghasilkan 4,200 biji biskut yang terdiri dari biskut makmur susu, makmur corn flakes, almond London, ulat bulu dan biskut pelangi. FOTO Yun Mikail
HAMIDAH menghasilkan 4,200 biji biskut yang terdiri dari biskut makmur susu, makmur corn flakes, almond London, ulat bulu dan biskut pelangi. FOTO Yun Mikail
Yun Mikail


MESKIPUN sambutan Aidilfitri tahun ini sedikit berbeza namun peniaga biskut raya di negeri ini masih menerima tempahan sekali gus menjana pendapatan sepanjang Ramadan.

Peniaga biskut raya, Hamidah Ontong, 33, berkata, dia mula mula membuka tempahan pada minggu kedua Ramadan selepas berbincang dengan suami.

"Pada mulanya, saya tidak merancang mahu mengambil tempahan namun memandangkan saya tetap akan membuat biskut untuk keluarga, suami mencadangkan agar saya mengambil sedikit tempahan.

"Tempahan datang daripada pelanggan tetap manakala iklan jualan dibuat melalui aplikasi WhatsApp saja berbanding laman sosial sebelum ini," katanya.

Hamidah yang sudah 12 tahun menceburi bidang perniagaan biskut raya berkata, dia mampu menghasilkan 4,200 biskut seperti biskut makmur susu, makmur corn flakes dan ulat bulu.

"Tahun lalu, saya hasilkan 7,500 biskut raya. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana rezeki untuk kami masih ada," katanya yang mengusahakan perniagaan biskut raya di bawah jenama Nasyidah Homemade.

Berkaitan pendapatan diperoleh, Hamidah menyatakan, dia hanya mampu menjana keuntungan kira-kira RM1,500 berbanding RM3,000 tahun sebelumnya.

"Walaupun hasil jualan kurang namun saya tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya, wang ini boleh digunakan untuk membeli persiapan Aidilfitri," katanya yang sudah menghantar semua tempahan kepada pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 1:55 PM