Amir Abd Hamid


Petaling Jaya: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) memantau secara serius fenomena cuaca panas yang sedang melanda negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia termasuk untuk bersedia mengambil langkah perlu bagi meminimumkan kesan terhadap pengeluaran bahan makanan.

Beliau berkata, perubahan iklim adalah antara cabaran dihadapi sektor agromakanan.

"Banjir, kemarau, ketidaktentuan cuaca hujan dan panas adalah perkara yang memberi kesan kepada sektor agromakanan negara.

"Akhir tahun lalu kita berhadapan dengan banjir yang memusnahkan sektor penanaman seperti padi selain tanaman lain dan ternakan.

"Kita sudah mengambil langkah mitigasi untuk mengurangkan kesan akibat bencana. Ini termasuk pemberian pelbagai bantuan dan kewangan untuk pengusaha berupaya memulakan semula perusahaan mereka," katanya dalam sidang media selepas melancarkan majlis Jubli Emas 50 Tahun Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di ibu pejabat pertubuhan itu di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Mafi I, Datuk Seri Ahmad Hamzah, Timbalan Menteri Mafi II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Pengerusi Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob.

Ronald mengulas kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bahawa cuaca panas sekarang dijangka berlanjutan hingga Mei ini.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah dilaporkan berkata, cuaca panas dijangka akan mula reda menjelang Jun nanti.

Muhammad Helmi berkata, ketika ini, fenomena La Nina sederhana sedang berlaku dan suhu di seluruh negara masih dalam keadaan normal.

"Suhu maksimum yang direkod di Stesen Meteorologi Chuping sejak seminggu lalu ialah sekitar 34 darjah Celsius hingga 35 darjah Celsius.

"Bagaimanapun suhu maksimum di Lembah Klang adalah sedikit lebih tinggi iaitu di antara 35 darjah Celsius hingga 36 darjah Celsius.

"Berdasarkan rekod, didapati suhu maksimum sedikit lebih tinggi di kawasan Lembah Klang dan pedalaman Pahang. Namun tiada suhu melampau yang dicatat dalam tempoh seminggu ini," katanya memetik laporan portal MyMetro hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 2:28 PM