Ruwaida Md Zain


TIADA tolak ansur apabila polis Shah Alam, Selangor bertindak tegas memotong bekalan elektrik tujuh premis yang masih berdegil menjalankan kegiatan judi 'online' tadi.

Premis yang berselindung di sebalik perniagaan menjual telefon bimbit bagi mengaburi mata pihak berkuasa itu dikesan beroperasi di Seksyen 15, 16, 25 dan 28, Shah Alam.

Operasi bersepadu yang dijalankan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu bermula jam 10 pagi tadi.

Difahamkan, pemotongan bekalan elektrik itu dibuat susulan kedegilan pemilik dan penjaga premis yang masih meneruskan kegiatan haram itu walaupun pernah diserbu sebelum ini.

Siasatan polis mendapati kesemua premis berkenaan pernah diserbu beberapa kali dan tindakan pemotongan itu bagi mengelakkan sindiket terbabit kembali aktif.

Tindakan diambil mengikut peruntukan Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Minggu lalu, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menumpaskan 61 sindiket perjudian sepanjang Januari hingga Julai tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata sepanjang tempoh sama sebanyak 3,015 serbuan dijalankan ke atas premis perjudian haram di seluruh negara.

POLIS dengan kerjasama TNB mengambil tindakan tegas memotong bekalan elektrik premis yang menjalankan kegiatan perjudian online ketika operasi bersepadu di sekitar Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
POLIS dengan kerjasama TNB mengambil tindakan tegas memotong bekalan elektrik premis yang menjalankan kegiatan perjudian online ketika operasi bersepadu di sekitar Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 6:27 PM