GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Petugas barisan hadapan kesihatan akan mula menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19, Ahad ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, suntikan akan dilakukan di enam hospital kerajaan dan di 20 Pusat Pemberian Vaksin Kementerian Kesihatan (PPVKK).

"Dianggarkan kira-kira 13,000 petugas barisan hadapan kesihatan akan menerima suntikan dos penggalak secara berperingkat mulai Ahad ini.

"Suntikan dos penggalak kepada petugas barisan hadapan menggunakan vaksin jenis homologous (vaksin jenis sama) dan akan diberikan kepada penerima vaksin Pfizer," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Kasemani berkata, suntikan dos penggalak kepada petugas barisan hadapan daripada agensi lain akan diberikan selepas garis panduan lebih lengkap diperoleh.

Katanya, ia akan diberikan di PPV Klinik Swasta (PPVGP), kecuali bagi daerah yang tidak mempunyai PPVGP.

Katanya, suntikan dos penggalak hanya akan diberikan kepada mereka yang sudah melepasi tempoh sekurang-kurang enam bulan daripada tarikh penerimaan dos kedua.

"Setakat ini, pemberian dos penggalak hanya akan diberikan kepada petugas barisan hadapan dan warga emas berusia 60 tahun ke atas, manakala golongan lain belum diputuskan," katanya.

Mengulas mengenai pemberian dos penggalak kepada penerima vaksin jenis Sinovac, Dr Kasemani berkata, pemberian vaksin kepada penerima jenis itu masih di peringkat kajian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 7:23 PM