GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Sebanyak 208 masjid di negeri ini diberi peruntukan RM208,000 sebagai inisiatif bantuan ketika tempoh Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, setiap masjid akan menerima sumbangan RM1,000 menerusi Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Katanya, sumbangan itu akan disalurkan kepada tabung masjid selewat-lewatnya pada minggu depan.

"Kita menyedari situasi sukar ketika ini yang memberi kesan kepada tabung masjid berikutan jumlah kehadiran jemaah dihadkan.

"Diharap sumbangan itu dapat membantu pihak pengurusan masjid membiayai beberapa keperluan termasuk bil utiliti, pembersihan atau sanitasi," katanya pada sidang media secara dalam talian, di sini, hari ini.

Ahmad Zakiyuddin berkata, ZPP meluluskan sumbangan sebanyak RM300,000 kepada rakyat Palestin dan RM38,000 bagi masyarakat Islam di Thailand, Laos, Filipina dan dan Rohingya di Malaysia di bawah Tabung Bantuan Kemanusiaan Zakat Pulau Pinang (TBK ZPP).

Beliau berkata, sumbangan dibuat kepada sembilan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang aktif menjalankan misi amal berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali berkata, kutipan zakat fitrah pada tahun ini dilihat meningkat berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, bagi tahun ini, sebanyak RM6,020,413.68 kutipan zakat fitrah diperoleh membabitkan sejumlah 775,422 pembayar manakala RM5,560,586.81 membabitkan 756,948 pembayar diperoleh pad atahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 6:50 PM