GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Nur Izzati Mohamad

Georgetown: Jumlah kutipan zakat di Pulau Pinang menunjukkan peningkatan kepada RM130.8 juta pada tahun lalu berbanding RM121.4 juta pada tahun lalu.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, prestasi kutipan zakat pada tahun lalu amat memberangsangkan walaupun berdepan pandemik Covid-19.

Menurutnya, jumlah keseluruhan kutipan zakat merangkumi kutipan zakat harta dan zakat fitrah.

"Prestasi kutipan zakat harta pada tahun lalu meningkat sebanyak 7.6 peratus iaitu RM125.2 juta berbanding pada tahun sebelumnya yang merekodkan RM116.3 juta.

"Manakala, prestasi kutipan Zakat Fitrah tahun lalu pula adalah sebanyak RM5.6 juta berbanding sebanyak RM5.06 juta pada 2019," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, bilangan pembayar zakat harta pada tahun lalu juga meningkat apabila merekodkan seramai 70,677 orang berbanding 67,149 orang pada 2019.

"Bagaimanapun, penerima zakat didapati meningkat sebanyak 31 peratus iaitu daripada 31,821 orang pada 2019 kepada 41,690 orang pada tahun lalu.

"Zakat Pulau Pinang (ZPP) juga berjaya mengagihkan zakat sebanyak RM126.5 juta pada tahun lalu berbanding RM112.4 juta pada 2019 iaitu peningkatan sebanyak 12.5 peratus," katanya.

Katanya, bantuan khas Covid-19 dengan peruntukan RM15.9 juta juga disalurkan kepada 27,532 penerima dari 22 Mac tahun lalu hingga 31 Disember lalu bagi meringankan beban mereka yang terkesan dengan wabak Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 8:00 PM