Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dianugerahkan The BrandLaureate World Halal BestBrands e-Branding Award 2021 For Strategic Business Alliance dari badan bebas semalam.
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Hakimah Mohd Yusoff, berkata, World Brands Foundation (TWBF) selaku penganjur memilih Jakim sebagai penerima buat kali kedua selepas 2019.
Menurutnya, kerajaan juga mengiktiraf Jakim selaku satu jenama dan institusi yang dilihat menepati ciri-ciri Standing Strong, Sustaining Brand Success & Brand Leadership.
Katanya, pengiktirafan diberikan ini adalah atas kejayaan Jakim membangunkan strategi baharu untuk memenuhi keadaan persekitaran perniagaan yang semasa walaupun dalam masa-masa yang sukar.
"Pengiktirafan ini antara lain dapat mengukuhkan nama Jakim dalam pasaran halal selain mendorong industri yang memiliki pensijilan halal untuk melonjak jenama mereka dengan lebih kompetitif," katanya dalam kenyataan hari ini.
Hakimah berkata, Jakim turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada World Brands Foundation (TWBF) atas usaha dan inisiatif ini termasuk kepada pihak berkuasa agama negeri yang menjadi badan kompeten dalam pengurusan sijil halal di Malaysia.
Menurutnya, Jakim sentiasa komited dalam merancakkan lagi perkembangan industri halal di Malaysia dan pengiktirafan seumpama ini akan dapat meningkatkan lagi tahap kesedaran pemain industri untuk memiliki pensijilan halal.
"Pengiktirafan ini juga diharap dapat menarik kepercayaan dan keyakinan pengguna terhadap industri halal seterusnya memacu pensijilan halal sebagai sebuah 'nilai kemewahan' negara yang boleh dibanggakan," katanya.