Gambar daripada rakaman kejadian dua lelaki dipukul dipercayai berlaku di Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto Ihsan PDRM
Gambar daripada rakaman kejadian dua lelaki dipukul dipercayai berlaku di Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Polis sedang mengesan beberapa individu yang terbabit dalam video kes pukul dua lelaki menggunakan getah paip dipercayai di kawasan Chow Kit di sini, yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 54 saat menunjukkan dua mangsa dipukul menggunakan getah paip serta ditendang dua lelaki dengan disaksikan oleh enam individu lain, semalam.

"Isi kandungan video itu didapati jelas melanggar undang-undang dan boleh mendatangkan kegusaran awam.

"Satu laporan polis dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk menyiasat video berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, siasatan polis akan menjurus kepada individu yang terbabit dalam video berkenaan.

"Mereka akan dikesan dan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 dan 342 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai diingatkan supaya tidak berkongsi atau menyebarkan video itu di media sosial bagi mengelakkan kegusaran awam," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil atau menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 11:28 AM