GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seramai 19 kontraktor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana dipercayai mengemukakan penyata bank palsu bernilai kira-kira RM49 juta kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

Menurut sumber, penyata bank palsu itu dikemukakan sebagai dorongan untuk memasuki tender beberapa sekolah di seluruh Sabah.

"Semua suspek berusia antara 24 hingga 53 tahun terbabit ditahan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu, Sabah kira-kira 10 pagi hari ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

"Semua suspek yang terdiri daripada 10 lelaki dan sembilan wanita akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, Sabah dalam masa terdekat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan," katanya.

Menurutnya, pada 2020, SPRM Sabah menahan seramai 39 kontraktor yang dipercayai mempunyai modus operandi sama membabitkan nilai kontrak berjumlah lebih RM80 juta.

"Susulan tangkapan berkenaan sebanyak 132 pertuduhan telah berjaya dilaksanakan di Mahkamah Khas Rasuah di Sabah tahun lalu.

"SPRM memandang serius berhubung kesalahan itu dan susulan daripada kes berkenaan, beberapa aktiviti pencegahan telah dilaksanakan bagi menangani isu berkaitan.

"Antara usaha yang dilaksanakan ialah mengadakan beberapa sesi penerangan kepada pihak kontraktor seperti penganjuran seminar integriti bersama kontraktor hasil kerjasama antara Kementerian Kewangan Negeri Sabah dengan SPRM Sabah pada 25 Ogos 2020," katanya.

Selain itu, katanya, SPRM Sabah pada 27 Mac tahun lalu juga mengadakan Forum Anti Rasuah: Peranan Kontraktor Dalam Menangani Rasuah hasil kerjasama antara SPRM Sabah, Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

"SPRM mengingatkan golongan kontraktor supaya tidak mengemukakan sebarang dokumen palsu bagi tujuan memasuki mana-mana kontrak kerajaan kerana ia adalah satu kesalahan serius.

"Persatuan Kontraktor juga disarankan mengambil langkah proaktif dengan mengingatkan ahli mereka supaya jangan sesekali terbabit dengan kesalahan berkaitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 4:08 PM