LELAKI warga emas yang disahkan positif Covid-19 maut selepas terjatuh dari sebuah kondominium di Bandar Tun Razak, hari ini. FOTO ihsan polis
LELAKI warga emas yang disahkan positif Covid-19 maut selepas terjatuh dari sebuah kondominium di Bandar Tun Razak, hari ini. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Lelaki warga emas yang disahkan positif Covid-19 ditemui maut selepas terjatuh dari sebuah kondominium di Bandar Tun Razak, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menerima maklumat melalui panggilan kecemasan jam 11.10 pagi.

Menurutnya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Salak Selatan ke tempat kejadian dan mendapati mangsa berusia 75 tahun dalam keadaan terbaring di lobi kondominium itu.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang hadir di tempat kejadian.

"Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah ditemui dalam insiden yang berlaku," katanya dalam kenyataan malam ini.

Muhammad Idzam berkata, keterangan waris mangsa dan saksi di tempat kejadian diambil bagi membantu siasatan.

"Mayat dihantar ke HCTM untuk dibedah siasat.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi Ketua Polis Balai Salak Selatan Inspektor Muhd Arfizan di talian 03-77822222 atau mana-mana balai yang berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, ujian saringan mendapati mangsa positif Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 9:34 PM