PESERTA bersama sijil diperoleh.
PESERTA bersama sijil diperoleh.
Mohamad Hussin

Pelaksanaan Program Inkubasi Usahawantani Universiti Putra Malaysia (UPM) selari dengan strategi pembangunan bagi melahirkan lebih ramai usahawan muda siswazah dalam bidang pertanian.

Program Inkubasi Usahawantani adalah program pembangunan usahawan pertanian yang dimulakan pada awal 2012.

Matlamatnya bagi memastikan bekalan makanan negara yang berkualiti terus mencukupi dan melahirkan usahawan muda siswazah yang lebih peka serta bersikap terbuka terhadap penggunaan teknologi pertanian moden.

Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris berkata, kursus khas keusahawanan kepada bakal usahawan pertanian ditawarkan kepada graduan UPM atau luar yang berwibawa bagi melaksanakan projek pertanian.

Beliau berkata, UPM mengajar 27 lepasan ijazah dan diploma membabitkan seluruh institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara selama enam bulan untuk menjadi usahawan muda dalam pertanian.

“Kursus enam bulan ini merangkumi modul tanaman (fertigasi), akuakultur, ternakan ayam kampung kacukan dan ternakan ruminan.

“Tujuan kursus ini bagi melahirkan usahawan graduan dalam bidang pertanian yang merangkumi aspek pengeluaran, pemprosesan dan perniagaan tani,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Inkubasi Usahawantani 2016 di Fakulti Pertanian UPM di Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UPM, Prof Dr M Iqbal Saripan. Turut hadir, Dekan Fakulti Pertanian UPM Prof Dr Abdul Shukor Juraimi dan Ketua Jabatan Perniagaantani dan Ekonomi Biosumber Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Prof Madya Dr Nolila Nawawi.

Aini berkata, sejak memperkenalkan program latihan itu, alumni program inkubasi membabitkan 163 peserta berjaya menubuhkan 90 syarikat berteraskan keusahawanan pertanian untuk membantu sektor pertanian negara.

SEBAHAGIAN peserta Program Inkubasi Keusahawanan 2018 yang hadir.
SEBAHAGIAN peserta Program Inkubasi Keusahawanan 2018 yang hadir.

“Ia secara langsung dapat meningkatkan produktiviti pengeluaran pertanian. Menerusi pendekatan ini juga, saya yakin dalam tempuh 10 tahun akan datang keadaan ini akan mengubah landskap industri pertanian.

“Pelaku utama dalam industri pertanian terdiri daripada siswazah atau graduan muda yang lebih proaktif dan menjadikan keusahawanan pertanian sebagai pilihan utama bidang kerjaya mereka,” katanya.

Menurutnya, beliau berbangga kerana program ini diperluaskan di UPM kampus Bintulu pada bulan ini sekali gus memberi peluang kepada mereka yang berminat mengusahakan berasaskan pertanian.

“Saya juga ingin mencadangkan beberapa penambahbaikkan kepada pelaksanaan program ini supaya ia terus relevan dan berdaya saing iaitu menubuhkan persatuan bagi peserta lepasan program Inkubasi (Alumni) dengan organisasi yang berstruktur.

“Tujuannya supaya program ini bukan saja habis selepas enam bulan peserta bersama kita. Malah, kita harus mencari kaedah terbaik bagi memastikan peserta lepasan program ini terus bersama kita di bawah ikatan Alumni.

“Menerusi ikatan ini, tentunya banyak aktiviti lanjutan dapat diadakan dan dengan kepakaran yang ada di UPM untuk terus memainkan peranan membantu peserta sebagai usahawan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Katanya, cadangan lain supaya beberapa kajian dilaksanakan pensyarah dalam bidang keusahawanan bagi mendalami isu yang dihadapi peserta terutama isu keusahawanan dalam bidang pertanian.

“Hasil kajian ini dapat dijadikan sebagai input dan panduan ke arah pelaksanaan program pembangunan keusahawanan oleh pembuat dasar di kementerian.

“Dicadangkan supaya diadakan perbincangan dengan UPM Holdings bagi mencari kaedah terbaik menjadikan program ini sebagai program yang terus diminati graduan dan boleh berdikari pada masa hadapan,” katanya.

M IQBALL (dua dari kanan) dan Abdul Shukor (kiri) melawat gerai jualan produk pertanian.
M IQBALL (dua dari kanan) dan Abdul Shukor (kiri) melawat gerai jualan produk pertanian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 2:56 PM