HAIRUL Anwar Hamdi menyantuni warga emas dengan menawarkan khidmat gunting rambut percuma. FOTO ihsan pembaca
HAIRUL Anwar Hamdi menyantuni warga emas dengan menawarkan khidmat gunting rambut percuma. FOTO ihsan pembaca
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Kepakaran menggunting rambut dimiliki tidak hanya digunakan Hairul Anwar Hamdi untuk mencari rezeki semata-mata.

Sebaliknya, Hairul Anwar, 29, cuba mencari saham akhirat dengan menawarkan khidmat gunting rambut percuma kepada golongan kurang bernasib baik.

Menurut Hairul Anwar, niatnya hanya untuk membantu mereka yang berkenaan dan pada masa sama melakukan perkara boleh memberi manfaaat kepada orang sekeliling.

Terbaru, video dimuat naik Hairul Anwar di TikTok mendapat perhatian dengan rata-rata netizen memuji usahanya yang menawarkan khidmat gunting rambut percuma kepada sekumpulan kanak-kanak di padang berhampiran kawasan perumahan.

"Saya singgah di padang berkenaan pada Ahad lalu dan ia tidak dirancang sebenarnya kerana pada asalnya mahu ke sebuah pusat beli belah.

"Bagaimanapun, saya nampak ada sekumpulan kanak-kanak sedang bermain bola sepak jadi datang menghampiri mereka dan bertanya sama ada mereka mahukan khidmat gunting rambut.

"Mereka setuju dan saya tawarkan khidmat itu percuma saja dengan niat membantu sempena pembukaan semula sekolah," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Hairul Anwar berkata, khidmat gunting rambut percuma sudah menjadi seperti satu rutin dan kelaziman buatnya.

Disebabkan itu, Hairul Anwar akan mencari mereka yang kurang bernasib baik untuk menawarkan khidmat gunting rambut.

"Saya cari rezeki sebagai tukang gunting rambut sepenuh masa sejak enam tahun lalu.

"Dua tahun pertama, saya bekerja makan gaji saja dan pernah menimba pengalaman di beberapa kedai gunting rambut sebelum ada rezeki buka kedai di Flat Colombia, Keramat pada 2019 bermula dengan satu kerusi saja seterusnya berkembang menerusi pembukaan cawangan dekat Setiawangsa.

"Memandangkan sudah ada pasukan sendiri maka saya dapat hadkan waktu kerja dengan menggunting rambut pelanggan yang sudah membuat janji temu saja.

"Masa terluang yang ada pula digunakan untuk melakukan kerja khidmat masyarakat dengan menawarkan khidmat gunting rambut percuma dan setakat ini, saya sudah gunakan kepakaran membantu asnaf, warga emas, gelandangan dan tidak ketinggalan, Orang Kurang Upaya (OKU)," katanya.

Selagi ada kudrat, Hairul Anwar berkata, dia akan terus menabur bakti kepada masyarakat dengan kepakaran yang ada padanya.

"Saya datang daripada keluarga sederhana, pernah bekerja di pasar borong dan promoter di pusat beli belah. Ikutkan, memang banyak kisah turun naik saya malah pernah dihina kerana jadi tukang gunting rambut dan tidak berpendidikan tinggi.

"Itu belum lagi cabaran besar ketika negara berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 namun saya seorang yang tidak mudah putus asa. Jadi, masalah yang datang saya tidak anggap sebagai beban namun cuba cari peluang di sebaliknya misalnya ketika PKP lalu, saya ambil inisiatif menjual minyak rambut.

"Kini, keadaan bertambah baik maka rezeki yang ada saya cuba kongsikan dengan orang sekeliling," katanya yang kemungkinan meneruskan aktiviti sama pada Ramadan nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 6:13 PM