Hajiji Noor menyampaikan ucapan penggulungan pada hari akhir Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini. FOTO BERNAMA
Hajiji Noor menyampaikan ucapan penggulungan pada hari akhir Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini. FOTO BERNAMA
Oleh Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah mengulangi pendiriannya untuk tidak mengiktiraf sebarang tuntutan pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu terhadap negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata, keputusan itu jelas dan selaras dengan suara rakyat Sabah yang menyatakan persetujuan untuk membentuk Malaysia pada 1963 dan diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Saya sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak pernah dan tidak akan mengiktiraf tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah.

"Rakyat negeri ini sudah membuat keputusan untuk bersama-sama membentuk sebuah negara Malaysia berdaulat yang diiktiraf oleh PBB," katanya ketika menggulung perbahasan Jabatan Ketua Menteri Sabah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah, di sini, hari ini.

Pendirian itu turut disokong semua Ahli Dewan Undangan Negeri yang tampil menyatakan sokongan termasuk mencadangkan agar Dun Sabah membahaskan usul berhubung pendirian berkenaan.

Hajiji berkata, pendirian kerajaan negeri cukup jelas dan beliau meminta agar isu itu tidak dipolitikkan sejajar kedudukan Sabah yang sama-sama membentuk Malaysia.

"Saya nampak tanpa prejudis semua di sini dan rakyat Sabah tegas bahawa kita tidak mengiktiraf sama sekali tuntutan ke atas Sabah," katanya.

Tuntutan waris Kesultanan Sulu yang dibawa ke mahkamah arbitrasi di Madrid, Sepanyol adalah antara isu panas yang dibangkitkan pada Persidangan DUN Sabah kali ini.

Sementara itu, Hajiji berkata, Laporan Awal Banci Penduduk dan Perumahan Sabah 2020 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia Sabah menunjukkan populasi penduduk negeri terbabit ketika ini seramai 3,418,785 orang.

Daripada jumlah itu, katanya, 810,443 atau 23.7 peratus adalah bukan warganegara manakala warga Malaysia di Sabah ialah 2,608,324.

Katanya, perangkaan itu menunjukkan jumlah warga asing khususnya dari Filipina tidak sampai sejuta orang seperti didakwa sebelum ini.

"Namun begitu, kerajaan negeri akan terus berusaha menangani isu berkaitan pendatang asing yang berlarutan sejak sekian lama di negeri ini seperti yang dibangkitkan.

"Untuk tujuan itu, pada 16 Februari 2022, kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Khas Peringkat Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri ll.

"Jawatankuasa ini akan mencari pendekatan terbaik dan seterusnya mengemukakan semua cadangankepada jemaah menteri dalam tempoh tiga bulan," katanya.

- tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 4:03 PM