GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi (Met Malaysia) membangunkan aplikasi mudah alih RakanMET bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat sahih dan tepat mengenai keadaan cuaca semasa.

Ketua Pengarah Met Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, aplikasi itu adalah platform perkongsian maklumat cuaca seperti hujan lebat, ribut petir, angin kencang, jerebu, gempa bumi atau bencana lain.

"Aplikasi ini dibangunkan untuk perkongsian maklumat di antara pengguna dengan Met Malaysia yang berorientasikan perkhidmatan komuniti dan perkongsian pintar.

"Setiap pelaporan yang dikongsikan adalah berdasarkan tetapan lokasi semasa telefon pengguna melalui Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS).

"Selain itu, aplikasi ini turut menyediakan maklumat ramalan cuaca semasa dan maklumat ini tersedia dalam sela masa 30 minit untuk tempoh sehingga 3 jam," katanya sempena pelancaran RakanMET dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, aplikasi berkenaan boleh dimuat turun melalui Google Play secara percuma dan akan diperluaskan untuk pengguna Apps Store secara percuma.

"Semoga aplikasi mudah alih ini terus berperanan sebagai medium komunikasi dua hala antara orang awam dengan Met Malaysia dalam mendapatkan maklumat mengenai cuaca yang sahih serta tepat secara pantas di hujung jari," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Helmi berkata, sempena Hari Meteorologi Sedunia yang disambut 23 Mac setiap tahun, Met Malaysia akan mengadakan sesi Pocket Talk bertajuk Amaran Awal dan Tindakan Awal yang diadakan secara langsung melalui Facebook.

"Met Malaysia mengambil inisiatif sambutan ini sebagai platform untuk menyalurkan maklumat dan seterusnya meningkatkan kesedaran awam mengenai maklumat, nasihat dan amaran berkaitan meteorologi, geofizik dan tsunami.

"Pengetahuan tentang cuaca ekstrem, risiko bencana seperti banjir dan kesan perubahan iklim terhadap negara adalah antara yang penting untuk sesebuah komuniti.

"Informasi sebegini dapat memberi panduan dan membantu menjadikan masyarakat lebih 'celik cuaca' dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana," katanya.

Malaysia antara 193 negara anggota Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) yang menyambut Hari Meteorologi Sedunia hari ini.

Tema tahun ini ialah Amaran Awal dan Tindakan Awal dipilih WMO untuk menunjukkan kepentingan amaran awal supaya semua pihak dapat bersiap siaga dan bertindak lebih awal dalam menghadapi sebarang bencana melalui penggunaan maklumat hidrometeorologi dan iklim bagi memastikan kesan risiko bencana seperti kemusnahan alam, harta benda dan kehilangan nyawa dapat dikurangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 6:20 PM