Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Seramai 2.7 juta pelajar sekolah rendah dan Kolej Vokasional (KV) memulakan sesi penggal pertama persekolahan bagi sesi 2022/2023 secara bersemuka, hari ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata ini membabitkan pembukaan 7,778 sekolah kebangsaan (SK) dan 87 KV,membabitkan 2.67 juta pelajar SK serta 30,853 pelajar KV Tahun 2, 3, dan 4.

Katanya, daripada jumlah 2.67 juta murid SK, 442,828 daripadanya murid Tahun 1.

Radzi berkata, kehadiran murid di SK hari ini baik biarpun kadar pelalian kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) sebanyak 35 peratus, iaitu masih rendah.

"Ibu bapa bersedia menghantar anak ke sekolah dengan prosedur operasi standard (SOP) penularan wabak dipatuhi.

"Fasa pandemik menuju endemik membuatkan kita lebih terbuka, selain ibu bapa yang inginkan juga anak mereka hadir ke sekolah secara bersemuka," katanya di SK Syed Idrus, Chemor, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan, Nor Zamani Abdol Hamid.

Radzi berkata, kadar pelalian menerusi PICKids tidak akan dijadikan tanda aras bagi memansuhkan sistem penggiliran ke atas sekolah rendah yang mempunyai jumlah enrolmen melebihi 600 pelajar.

"Kita tidak boleh menunggu kadar vaksinasi sebelum mereka ini boleh kembali kepada sistem tanpa penggiliran, memandangkan jumlah peratusan kadar vaksinasi terbabit masih jauh rendah.

"Namun, kita akan pantau sesi persekolahan yang berlangsung mulai hari ini untuk satu tempoh. Insya-Allah kita akan panggil murid di sekolah yang melebihi enrolmen 600 pelajar ini untuk hadir tanpa penggiliran apabila tiba masa sesuai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 1:05 PM