Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Bagan Serai: Hasrat seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) bermandi-manda di kawasan Tasik Bukit Merah, di sini bersama rakannya berakhir tragedi apabila dia ditemukan lemas, hari ini.

Mayat Raja Edinas R Mohamad berusia 20-an dijumpai pasukan penyelamat pada jam 2.40 petang tadi dalam jarak lima meter daripada kawasan jeti tempat mereka bermandi iaitu di jeti Kampung Tepi Kolam, Bukit Merah, di sini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata mangsa dijumpai pada kedalaman kira-kira 3.7 meter.

"Mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang hadir ke lokasi, sebelum mayatnya kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai digerakkan ke lokasi sebaik panggilan diterima jam 2.01 petang tadi.

Sementara, difahamkan keluarga mangsa enggan ditemubual oleh pemberita mengenai insiden.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 8:36 PM