PASUKAN keselamatan mengangkat mayat mangsa yang lemas.  FOTO Rosli Ilham
PASUKAN keselamatan mengangkat mayat mangsa yang lemas. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Dungun: Dua pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) yang mandi di air terjun Tasik Puteri Bukit Besi, ditemukan lemas, malam ini.

Mayat Muhammad Qamarul Ariffin Mohd Ramly, 20, dan Muhammad Khalili Hasnol, 20, ditemukan 8.38 malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Shariffuddin Ali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, 5.47 petang.

Beliau berkata, sepasukan 12 anggota BBP Bandar Al Muktaffi Billah Shah dibantu anggota dari BBP Chukai bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat.

"Mayat kedua-dua mangsa ditemukan di dasar air terjun terbabit di kedalaman kira-kira lima meter oleh Pasukan Penyelamat Di Air.

"Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya kepada media, sebentar tadi.

Sementara itu, rakan mangsa, Muhammad Fadli Baharudin, 20, berkata, dia bersama kedua-dua mangsa dan empat lagi rakan lain menghabiskan cuti sempena Maulidur Rasul dengan bermandi-manda di situ.

"Tidak sampai 20 minit mandi di situ, mereka berdua tiba-tiba tenggelam timbul dalam keadaan terkapai-kapai kelemasan.

"Seorang rakan cuba berenang untuk menolong, namun tidak berhasil dan berpatah balik kerana bimbang mengalami nasib yang sama," katanya

Katanya, dia dan rakan lain kemudiannya meminta bantuan penduduk kampung untuk menyelamatkan kedua-dua mangsa.

"Penduduk kampung menggunakan pelampung cuba menyelamatkan mereka, namun tidak berjaya.

"Kami sedih kerana tidak berjaya membantu mereka, bagaimanapun bersyukur mayat mereka dijumpai pasukan mencari dan menyelamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 10:06 PM