Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Pulau Pinang bersetuju untuk mengikut saranan kerajaan pusat bagi melaksanakan solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal di semua masjid dan surau di negeri ini.

Bagaimanapun, tarikh pelaksanaannya belum diputuskan lagi sama ada dikuatkuasakan pada 1 April atau selewat-lewatnya awal Ramadan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini bersetuju menggunapakai prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan pusat.

"Kita sudah mengadakan perbincangan mengenai saranan (SOP) oleh kerajaan pusat dan kini cuma nak tentukan tarikh kuat kuasa sahaja sama ada 1 April atau awal Ramadan nanti.

Pada masa sama, kita juga akan berusaha menyelaraskan SOP terbaru peringkat Persekutuan dengan garis panduan yang dikuatkuasakan peringkat negeri," katanya ketika kepada pemberita di Majlis Doa Selamat Misi Everest 2022 di Surau Permatang Kerai Besar di sini, hari ini.

AHMAD Zakiyuddin mengulas prosedur operasi standard (SOP) aktiviti di masjid dan surau menjelang bulan Ramadan ketika ditemui pada Majlis Doa Selamat Misi Everest 2022 di Permatang Kerai Besar. FOTO Danial Saad
AHMAD Zakiyuddin mengulas prosedur operasi standard (SOP) aktiviti di masjid dan surau menjelang bulan Ramadan ketika ditemui pada Majlis Doa Selamat Misi Everest 2022 di Permatang Kerai Besar. FOTO Danial Saad

Ahmad Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang berkata, ketetapan untuk melaksanakan solat merapatkan saf juga dibuat selepas mengambil kira penurunan kes positif Covid-19 di negeri itu.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa aktiviti solat jemaah di masjid, surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal bermula 1 April ini.

Keputusan itu dibuat susulan Malaysia akan memasuki Fasa Peralihan Endemik bermula bulan hadapan.

Bagaimanapun, pelaksanaan dan SOP akhir untuk masjid, surau ia tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri dan untuk rumah ibadat selain Islam, tertakluk kepada Kementerian Perpaduan serta Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain.

Berhubung majlis berbuka puasa dan 'moreh', Ahmad Zakiyuddin berkata, kedua-dua aktiviti berkenaan turut dibenarkan diadakan.

"Kedua-dua aktiviti ini kita sudah bersetuju dan memberi kebenaran untuk diadakan tetapi kena ikut juga kesesuaian (berdasarkan SOP) dengan kapasiti anggota jemaah adalah berdasarkan luas lantai masjid atau surau masing-masing.

"Pelaksanaan solat tarawih juga boleh dilaksanakan seperti biasa mengikut SOP sedia ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 3:31 PM