FOTO HIASAN,
FOTO HIASAN,
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Belum ada arahan atau perbincangan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) khusus di masjid dan surau di Pulau Pinang sempena Ramadan setakat ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya belum menerima arahan atau mengadakan perbincangan berhubung SOP Ramadan di masjid dan surau.

Berikutan itu, katanya, semua aktiviti di masjid dan surau pada Ramadan berjalan seperti biasa mengikut SOP sedia ada yang sudah ditetapkan.

"Soal SOP ini kita mengikut arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang jika ada SOP lebih ketat nanti baharu kita akan dihubungi agensi ini.

"Buat masa ini, belum ada arahan atau perbincangan (SOP khusus dalam Ramadan) diadakan, maka semua SOP sedia ada dikekalkan dan berjalan seperti biasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada terdapat SOP khusus lebih ketat bagi mengelak penularan Covid-19 di masjid dan surau menjelang Ramadan.

Ia berikutan, kes positif baharu Covid-19 direkodkan di Pulau Pinnag, semalam agak tinggi dan dijangka terus meningkat dengan penularan varian Omicron.

Terdahulu, Ahmad Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Van Jenazah kepada Masjid Negeri dan Masjid-Masjid Daerah di seluruh Pulau Pinang di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Bandar Perda, di sini, hari ini.

Ahmad Zakiyuddin berkata, sehingga kini tiada penularan Covid-19 di masjid dan surau dilaporkan di negeri ini.

"Kami amat berjaga-jaga dan berharap semua dapat patuh kepada SOP ditetapkan.

"Kami merasakan SOP diamalkan sekarang mencukupi dan jika dipatuhi pentadbiran masjid serta orang awam, pasti tidak akan berlaku penularan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 3:12 PM