PELAJAR Andi Hussaini Mapanyukri mewakili pelajar baharu membaca ikrar di hadapan pengurusan tertinggi universiti. FOTO Ihsan UPSI
PELAJAR Andi Hussaini Mapanyukri mewakili pelajar baharu membaca ikrar di hadapan pengurusan tertinggi universiti. FOTO Ihsan UPSI

Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyarankan pelajar baharunya mengamalkan Budaya 'BAIKK' bagi memantapkan penampilan mereka.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata mereka perlu mengamalkan Bangga (B), Adab (A), Ilmu (I), Keluarga (K) dan Kreativiti dan Inovasi (K).

Menurutnya, Budaya BAIKK ini perlu difahami dan dihayati supaya dapat mencorakkan personaliti pelajar cemerlang bukan sahaja dalam akademik malahan sahsiah.

"Mengharungi cabaran kerjaya masa kini, pelajar perlu memiliki nilai murni seperti berasa bangga sebagai pelajar UPSI supaya dapat mencipta kecemerlangan diri sebelum bergraduat.

"Pelajar juga tidak harus melupakan harapan keluarga dari pelbagai latar belakang dan ia akan mendorong untuk tekun dalam mengajar ilmu di universiti," katanya ketika berucap pada Majlis Ikrar pelajar baharu ambilan Mac sesi 2021/2022 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.

Katanya, pelajar juga perlu aktif berkreatif dan inovatif hasil bagi memanfaatkan pembelajaran bersama akademia UPSI yang kebanyakan adalah pakar dalam program pengajian.

"Seramai 665 pelajar baharu selesai menjalani program orientasi yang membabitkan tujuh fakulti iaitu Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Fakulti Sains Kemanusiaan, Fakulti Sains dan Matematik, Fakulti Pembangunan Manusia, Fakulti Teknikal dan Vokasional, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan dan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi.

"Walaupun Program Orientasi kali ini disambut dalam suasana yang sederhana dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), namun ia tidak menjadi halangan untuk pelajar merasai kemeriahannya selepas sekian lama dijalankan secara dalam talian," katanya.

Sementara itu, beliau turut menyantuni seorang pelajar Orang kurang Upaya (OKU) yang berasal dari Melaka, Faizatul Iwani Mohamad Alwi dengan memberi kata-kata semangat supaya dapat meneruskan pembelajaran di universiti dengan baik.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Norkhalid Salimin pula berharap semua pelajar baharu memanfaatkan kemudahan disediakan oleh universiti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 5:19 PM