PENYOKONG PN mengikuti perkembangan pengiraan undi. FOTO Hairul Anuar Rahim
PENYOKONG PN mengikuti perkembangan pengiraan undi. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mahaizura Abd Malik

Johor Bahru: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berakhir semalam, menyaksikan beberapa pemimpin utama dan tertinggi parti yang bertanding tewas apabila gagal meraih majoriti.

Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin dan bekas Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat yang bertanding DUN Pulai Sebatang masing-masing tewas di tangan calon BN, Hasrunizah Hassan yang meraih 12,473 undi dan 6,325 majoriti.

Selain itu, Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kulai, Tosrin Jarvanthi turut kecundang di DUN Bukit Permai apabila mampu mengumpul 5,108 berbanding lawannya, Datuk Mohd Jafni Md Shukor (BN) yang memenangi kerusi itu dengan majoriti 4,755 serta meraih 10,889 undi.

Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan yang juga penyandang kerusi DUN Parit Yaani terpaksa akur apabila hanya mampu meraih 8,776 undi selepas tewas dengan Datuk Najib Samuri (BN) yang menang dengan majoriti 294 dengan mengumpul 9,070 undi.

Nasib sama turut tidak menyebelahi timbalannya, Dzulkefly Ahmad yang gagal mempertahankan kerusi DUN Kota Iskandar yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) apabila tewas di tangan calon BN, Pandak Ahmad yang meraih 23,133 undi dengan majoriti 4,360.

Pada masa sama, kerusi DUN Larkin yang dimenangi Ketua Pemuda Umno Johor, Mohd Hairi Mad Shah dengan majoriti 6,178 jauh meninggalkan pesaingnya, Ketua Penerangan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Johor, Rasid Abu Bakar yang hanya meraih 4,948 undi dan Bendahari PKR Cabang Pasir Gudang, Dr Zamil Najwah Arbain (6,448) pada persaingan enam penjuru di DUN berkenaan.

Sementara itu, kerusi DUN Gambir yang disandang Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal dipertahankan apabila calon PN, Mohd Solihan Badri ditewaskan calon BN, Sahrihan Jani yang berjaya meraih 7,960 undi dengan majoriti 3,146 undi.

Malam tadi, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh mengesahkan BN memperoleh 40 kerusi daripada 56 DUN di Johor.

Kemenangan selesa itu membolehkan BN membentuk kerajaan dengan memperoleh majoriti dua pertiga.

Pakatan Harapan (PH) pula terpaksa akur dengan kemenangan di 11 kerusi DUN, diikuti PN (tiga) dan PKR dan Muda masing-masing meraih satu kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 1:47 PM