Alwiyah Talib akan bertanding di N32 Endau bagi Pilihan Raya Negeri Johor ke-15. FOTO BERNAMA
Alwiyah Talib akan bertanding di N32 Endau bagi Pilihan Raya Negeri Johor ke-15. FOTO BERNAMA
Mohamad Fahd Rahmat


Mersing: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Alwiyah Talib (PN) menghadapi tentangan daripada bekas ''bos' iaitu Ketua UMNO Bahagian Mersing, Mohd Youzaimi Yusof (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Alwiyah, 61, turut ditentang Mohamad Fakrulradzi Mahmud (PH) dan Mohd Noorhisyam Ibrahim (PEJUANG), selain Ismail Don (Bebas) yang muncul di saat akhir di Pusat Penamaan Calon di Dewan Serbaguna Endau di sini hari ini.

Alwiyah, sebelum ini bersama dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN iaitu Rasman Ithnain (bekas ADUN Sedili) dan Rosleli Jahari yang juga bekas ADUN Johor Lama keluar daripada UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada 12 Mei 2018.

Alwiyah, meraih 7,136 undi dan menang dengan majoriti 3,080 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menewaskan Norul Haszarul Abu Samah (PKR) yang meraih 4,056 undi dan Roslan Nikmat (PAS) yang meraih 3,689 undi.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, Raven Kumar, 39, bertanding mempertahankan kerusi DUN Tenggaroh yang dimenanginya pada PRU-14.

Anak kepada bekas Timbalan Pengerusi MIC Johor, mendiang Datuk S Krishnasamy itu dicabar Roslan Nikmat (PN), Zulinah Johari (PKR) dan Mohd Firdaus Abd Rahman (PEJUANG).

Pada 2018, Raven Kumar meraih sebanyak 12,309 undi dan menang dengan 5,765 majoriti undi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 2:25 PM