Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang: Pasukan jawatankuasa teknikal kerajaan masih menjalankan kajian pergerakan tanah di lokasi tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 di sini, hari ini.

Ia membabitkan Jabatan Kerja Raya (JKR), Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bersama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Disebabkan itu, lokasi berkenaan masih ditutup dan tiada sebarang kerja pembersihan dan mengalihkan tanah runtuh dijalankan buat masa ini kerana tahap kestabilan tanah masih belum dipastikan.

Ahli Majlis Majlis Perbandaran Ampang Jaya MPAJ Zon 23 Mohamad Samat berkata, sebarang keputusan untuk tindakan susulan di lokasi kejadian bergantung kepada keputusan kajian dijalankan oleh jawatankuasa berkenaan.

"Ketika ini, pasukan berkenaan mungkin masih lagi mengkaji kekukuhan cerun sebelum keputusan-keputusan lain dibuat, termasuk kerja pembersihan.

"Kita difahamkan, JKR menanam alat-alat pengesan di atas bukit yang terjejas bagi mengesan secara berkala sebarang pergerakan tanah baharu," katanya ditemui di lokasi di sini.

Mohamad berkata, sebarang tindakan lanjut mungkin dapat diputuskan dalam tempoh sehari dua lagi.

"Apa yang penting sekarang adalah, kita minta penduduk yang terjejas untuk segera tampil membuat laporan dan mendaftarkan diri kepada pihak saya untuk kita aturkan bantuan yang sewajarnya.

"Buat masa ini, hanya 70 peratus penduduk daripada 48 rumah yang terjejas dan terpaksa berpindah sudah mendaftar. Kita minta keluarga yang belum tampil untuk berbuat demikian dengan hadir ke pejabat Ahli Majlis MPAJ Zon 23," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 3:06 PM